KUALA LUMPUR – Kontrak Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berakhir hari ini selepas menerajui jawatan ini selama dua tahun
Tugas rasmi terakhir beliau adalah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Felda pada jam 2.30 petang tadi.
Sepanjang dua tahun menerajui organisasi ini, beliau telah memainkan peranan besar dalam memperkukuh semula ekosistem antara Felda dan anak-anak syarikat terutama dalam mempercepatkan penyahsenaraian FGV Holdings Berhad, sekali gus mengembalikan keyakinan rakan strategik serta mempertingkatkan imej dan prestij Felda.
Pendekatan beliau diterjemahkan melalui gagasan ‘Segalanya Felda’ yang kini menjadi teras penyatuan organisasi dan komuniti.
Pengurusan dan seluruh warga Felda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa, bakti dan kepimpinan Ahmad Shabery sepanjang memegang amanah.
Ahmad Shabery dilantik sebagai Pengerusi Felda pada Julai 2023. – MalaysiaGazette
















