Gambar hia

SEPANG – Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini yang tertangguh sejak 28 bulan lalu kini memulakan semula operasinya tepat pukul 10 pagi hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar bangunan Satelit, KLIA 1 di sini mendapati orang ramai termasuk pelancong tempatan dan warga asing berpusu-pusu menggunakan pengangkutan awam itu.

Hampir kesemua enam gerakan Aerotrain di dua landasan yang berulang-alik dari Terminal 1 ke bangunan Satelit, KLIA 1 dipenuhi penumpang sama ada yang baru tiba ke tanah air mahupun memulakan perjalanan ke luar negara.

Chia Kim Yee

Bagi seorang rakyat tempatan yang baru tiba dari Taiwan, Chia Kim Yee, 26, perkhidmatan aerotrain itu diakui lebih efisien dan selesa berbanding bas ulang-alik yang agak panas dan merumitkan.

“Bagi saya, bas sangat rumit dan panas. Di negara-negara lain, mereka berkereta dari Terminal 1 ke Terminal 2. Jadi benda ini sangat mudah untuk ke mana-mana tempat. Kita lebih mudah untuk bergerak di sekitar lapangan terbang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menaiki perkhidmatan Aerotrain KLIA yang mula dibuka kepada orang ramai hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Seorang penjawat swasta, Naziha Abdullah.

Bagi seorang penjawat swasta, Naziha Abdullah, 35, perjalanan dari Terminal 1 ke bangunan Satelit KLIA hanya memakan masa dua minit tanpa perlu menunggu lama berbanding perkhidmatan bas ulang-alik sebelum ini.

“Hari ini, saya rasa teruja sebab sudah lama tren tak beroperasi, jadi kita pun rasa macam berbesar hati nak rasa aerotrain baharu ini.

“Pengalaman naik aerotrain hari ini jauh lebih baik daripada naik bas, kita terpaksa menunggu antara tiga hingga empat minit untuk menaiki bas sebelum ini.

“Tambahan pula gerabak aerotrain kali ini agak luas berbanding tren lama, dilengkapi pula dengan paparan LED yang lebih jelas,” katanya.

Seorang jurutera tempatan, Syazwan Misba.

Selain itu, menurut seorang jurutera tempatan, Syazwan Misbah, 32, dia menyifatkan pengalaman pertama menaiki Aerotrain sebagai lebih menarik berbanding tren lama.

“Sistem penghawa dingin pun sejuk, tren nampak cantik, moden dan lebih efisien, tidak perlu menunggu lama kerana perjalanan hanya dua minit sahaja berbanding bas,” katanya.

Seorang warganegara Taiwan, Dr Inglish Ying-Che Huang.

Sementara itu, bagi seorang pelancong asing dari Taiwan, Dr Inglish Ying-Che Huang, 72, menyifatkan perjalanannya menaiki aerotrain dari bangunan Satelit ke Terminal 1, KLIA sebagai romantik.

“Pengudaraan dalam tren yang sangat baik dan cepat. Selain itu, tren ini lebih efisien malah rasa romantik ketika berada di dalam gerabak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Aerotrain laju, lebih baik dari sebelum ini – PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast