P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersama lapan lagi ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa mungkin mempunyai alasan yang kukuh untuk menyeru penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam badan kehakiman.

Namun, walaupun Rafizi dan lapan lagi ahli Parlimen tersebut masih berfungsi dalam kerangka kerajaan sedia ada, mereka tidak mempunyai kekuatan atau ketegasan untuk mendesak penubuhan RCI atau menuntut supaya Anwar tampil di hadapan jawatan kuasa pilihan Parlimen bagi menjawab tuduhan campur tangan dalam badan kehakiman.

Ini kerana, kata Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, sebagai sebahagian daripada kerajaan, seruan sembilan Ahli Parlimen PKR ini tidak mempunyai legitimasi dan kuasa untuk menyiasat isu campur tangan kehakiman secara berkesan.

Oleh itu, jelasnya, jika Rafizi dan yang lain benar-benar serius, adalah lebih wajar untuk keluar mereka daripada barisan kerajaan dan berpihak kepada pembangkang.

“Rafizi, daripada terus menumpukan perhatian kepada Pas, sepatutnya menunjukkan pendirian politik dan kepentingan nasional dengan membina pakatan yang lebih luas bagi menangani isu campur tangan kehakiman ini.

“Adalah sukar untuk menentang kerajaan yang berakar umbi tanpa sokongan daripada pihak pembangkang. Inilah sebab utama mengapa pembangkang tidak menyokong seruan yang dibuat oleh Rafizi dan lapan ahli Parlimen lain,” dakwanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahan pula, daripada sekadar meminta Anwar untuk berundur sementara, pendirian Sekretariat Kehakiman yang menuntut peletakan jawatan perdana menteri dilihat jauh lebih tepat.

Lantaran itu, Ramasamy berkata, Rafizi dan rakan-rakannya perlu membuat keputusan sama ada untuk terus berfungsi dalam kerangka kerajaan atau mengambil pendirian yang lebih tegas dengan menyertai barisan pembangkang dalam mendesak peletakan jawatan Anwar.

“Rafizi dan rakan-rakannya tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada masalah, sebaliknya menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam menamatkan kemelut kehakiman negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast