Mohd Foad Mat Isa

 

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didesak mengembalikan semula kuasa merotan kepada para guru dan pentadbir sekolah di bawah garis panduan yang bersesuaian bagi membentuk disiplin dan rasa tanggungjawab dalam diri pelajar.

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia berkata, kuasa merotan bukan bertujuan menyakitkan tetapi ketika guru dilucutkan kuasa mendidik dengan tegas, pelajar mula memandang ringan terhadap arahan, undang-undang dan nilai moral.

Hasilnya, lahirlah generasi yang berani mencabar guru, melanggar disiplin, malah sanggup bertindak ganas terhadap rakan sendiri.

Presidennya, Datuk Mohd Foad Mat Isa berkata, kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat akibat ditikam oleh rakan sekolah sendiri semalam bukan kes terpencil, tetapi merupakan cerminan nyata terhadap keruntuhan disiplin, hilangnya rasa hormat terhadap guru, serta kelemahan kawalan akhlak di sekolah- sekolah negara ini.

“Peristiwa ini menjadi tanda bahaya besar kepada seluruh sistem pendidikan dan masyarakat. Ia menunjukkan dunia persekolahan, yang sepatutnya menjadi tempat mendidik menjadi insan berilmu dan berakhlak, kini mula dicerobohi oleh budaya ganas, dendam dan pengaruh gengsterisme yang semakin membarah.

“Pekida memandang serius perkara ini dan menegaskan bahawa sudah tiba masanya tindakan luar biasa diambil sebelum lebih banyak nyawa remaja melayang akibat kelemahan sistem kawalan disiplin sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, guru ialah insan yang mendidik dengan kasih sayang tetapi perlu disokong dengan kuasa untuk menegakkan disiplin.

Justeru, Pekida berpandangan bahawa pengembalian semula kuasa merotan dalam kawalan tatacara yang jelas merupakan langkah tepat untuk memulihkan semula wibawa guru dan maruah institusi pendidikan.

Dalam masa yang sama, Pekida turut menggesa supaya Polis Diraja Malaysia dilibatkan secara langsung dan tetap di sekolah-sekolah seluruh negara.

Jelas beliau, kehadiran pegawai perhubungan polis di sekolah bukan sekadar simbol keselamatan, tetapi sebagai langkah pencegahan awal terhadap gejala kongsi gelap, gengsterisme, serta kegiatan jenayah yang mula menular dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu, setiap sekolah menengah disaranan dilengkapi sekurang-kurangnya seorang Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) sepenuh masa, yang dapat memantau dan menjalankan program pendidikan jenayah serta kaunseling disiplin secara berkala bersama pihak sekolah dan PIBG.

Selain itu, tindakan pencegahan seperti pemeriksaan mengejut terhadap beg dan loker pelajar perlu digiatkan semula dengan kerjasama polis dan pihak sekolah.

Ia bukan bertujuan menghukum, tetapi melindungi keselamatan pelajar dan menghapuskan budaya membawa senjata tajam, rokok, vape, atau bahan terlarang ke sekolah, ujarnya.

Mohd Foad berkata, masalah yang melanda sekolah di negara ini berpunca daripada keruntuhan sistem nilai dalam masyarakat moden.

Pendidikan agama dan moral telah diremehkan, manakala budaya hedonisme, pengaruh media sosial yang tidak terkawal serta hiburan melampau telah meracuni jiwa remaja.

Oleh itu, sudah tiba masanya KPM melaksanakan reformasi nilai dengan mengembalikan pendidikan agama sebagai teras pembentukan akhlak, bukan sekadar subjek akademik semata-mata.

Pekida, katanya, menyarankan agar diwujudkan semula program pemulihan akhlak pelajar berisiko di sekolah-sekolah khas, dengan bimbingan ustaz, kaunselor dan pegawai agama.

Pendekatan ini lebih berkesan daripada hanya menggantung atau membuang pelajar yang bermasalah, kerana ia memberi peluang untuk mereka diperbetulkan dengan kasih dan panduan agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast