KUALA LUMPUR – Sembunyi bungkusan berisi dadah hampir tujuh kilogram (kg) di ruangan simpanan rahsia dalam dua bagasi antara modus operandi dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 28 Oktober lalu.
Ia susulan penahanan seorang warga China di Balai Ketibaan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) dengan rampasan dadah sebanyak 6,884 gram (g) bernilai lebih RM344,000.
Pengarah Kastam JKDM LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata, kegiatan penyeludupan itu dikesan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasa (JKDM LTAKL) bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS LTAKL).
“Orang yang disyaki (OYDS) yang cuba memasuki ke negara ini telah disekat oleh anggota AKPS selepas imbasan pada bagasi yang dibawanya mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, anggota menemui beberapa bungkusan kecil plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ketamin.
“Ia dibalut dengan pembalut aluminium yang ditutup dengan papan dan disorokkan di bahagian dalam pelapik kain beg bagasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu OYDS dan barang terbabit kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL untuk siasatan lanjut kerana
“Ketamin disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati,” jelasnya.
Beliau menambah, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















