KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) yang bertanding melalui DAP dan PKR di Sabah dijangka hanya mampu memenangi kerusi dalam jumlah “satu digit”, iaitu kurang daripada sepuluh kerusi.
Tay Tian Yan, Timbalan Pengarang Eksekutif Sinchew Daily dan penganalisis pilihan raya, menghuraikan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini melibatkan lima kem besar dan dua kem kecil, yang juga boleh dikategorikan sebagai kem Persekutuan dan kem tempatan.
Menariknya, Tay Tian Yan turut mengkategorikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kem Persekutuan, terutamanya disebabkan hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan.
“Datuk Seri Hajiji Noor (pemimpin utama GRS) akan berpihak kepada Perdana Menteri, tidak kira siapa yang mentadbir Persekutuan. Walaupun memposisikan diri sebagai parti tempatan, kebanyakan rakyat Sabah melihat GRS sebagai kem yang mesra Persekutuan,” katanya.
Tian Yan bagaimanapun menjangkakan GRS masih berpotensi memenangi sekitar 20 kerusi atas sokongan yang diterima daripada masyarakat bumiputera Islam serta keadaan kewangan GRS yang kukuh.
Seramai 596 calon bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah yang akan berlangsung pada 29 November ini.
Banyak kerusi menyaksikan persaingan sengit dengan lebih 10 calon bertanding. Seramai 14 calon bertanding di Tulid, manakala 13 calon bertanding di Tamparuli, Bandau dan Inanam.
Mengenai PH, Tian Yan berkata, walaupun PKR mempunyai wawasan besar untuk memperluas pengaruh dengan meletakkan calon berprofil tinggi seperti bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ruji Ubi di Merotai dan anak bekas ketua menteri, Datuk Yamani Musa di Sindumin, parti itu berdepan halangan.
“PH dilihat sebagai pengaruh Malaya yang tidak memenuhi cita rasa pandangan arus perdana di Sabah.
“Dengan kehilangan sentimen anti-UMNO, PH sukar mencari sasaran serangan. PKR dijangka sukar menang, malah DAP juga berpotensi kehilangan kerusi tertentu.
“Berdasarkan pemerhatian semasa, jumlah kerusi yang mampu dimenangi PH hanyalah satu digit,” katanya.















