BAYAN LEPAS – Keluarga dua kanak-kanak berusia tujuh tahun yang terlibat dalam insiden lemas di kolam renang sebuah premis di sini pada Sabtu lalu masih trauma dan memohon diberikan ruang.
Ibu seorang daripada mangsa, yang mahu dikenali sebagai Farah berkata, anaknya kini beransur pulih tetapi masih berada di wad kanak-kanak Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemantauan rapi.
“Doktor beritahu anak saya perlu dipantau selama 48 jam sebelum diputuskan sama ada boleh keluar wad. Segalanya siasatan kami serah kepada pihak polis dan buat masa ini kami mohon tidak diganggu,” katanya.
Sementara itu, ibu kanak-kanak perempuan yang enggan dikenali berkata, anak ketiganya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Sabtu lalu telah menunjukkan perkembangan positif hari ini.
“Doktor memberitahu perkembangannya semakin baik,” katanya yang enggan mengulas lebih lanjut kerana masih terkesan dengan kejadian tersebut.
Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak dijangka memulakan persekolahan Darjah Satu hari ini, namun pihak sekolah telah dimaklumkan mengenai insiden.
MalaysiaGazette semalam melaporkan polis sedang menjalankan siasatan mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian atau salah laku berhubung kejadian melibatkan dua kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai lemas di kolam renang sebuah premis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di kolam renang tingkat 42 premis berkenaan dan tiada petugas berada di lokasi semasa kejadian.
Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati adik perempuan pengadu telah membawa kedua-dua mangsa ke kolam renang kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum ditemui lemas oleh orang awam di bahagian kolam dewasa. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















