KUALA LUMPUR – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan motif sebenar Khairy Jamaluddin susulan kenyataannya yang mendakwa UMNO lebih kuat dan kurang dikritik berbanding PKR serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Exco Wanita PKR Pusat, Farahida Fauzi berkata, kenyataan Khairy dilihat lebih kepada usaha membina persepsi politik berbanding analisis jujur mengenai keadaan sebenar parti-parti politik ketika ini.
Menurutnya, Khairy juga tidak lagi berada dalam struktur UMNO untuk bercakap mengenai kekuatan dalaman parti itu secara tepat.
“Bercakap tentang kekuatan dalaman parti tanpa berada dalam lingkungan parti itu sendiri selama bertahun-tahun ibarat menilai dari luar pagar.
“Nampak dekat, tetapi hakikatnya jauh daripada realiti. Apa yang dilontarkan lebih mirip tafsiran peribadi dan bukannya gambaran sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Farahida berkata, kenyataan tersebut turut dilihat cuba mencetuskan persepsi negatif terhadap hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika negara memerlukan kestabilan politik dan kerjasama matang.
Katanya, naratif sedemikian hanya memberi ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan terhadap hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya PKR sedang berdepan perpecahan serius dan menegaskan perbezaan pandangan dalam parti adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi.
“Perbezaan pandangan bukan tanda rapuh, sebaliknya cerminan dinamika parti yang hidup dan berfungsi.
“Yang penting ialah keupayaan mengurus perbezaan itu secara matang dan perkara itu terus diperkukuh dalam Keadilan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pandangan Khairy tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi UMNO kerana parti berkenaan mempunyai kepimpinan dan saluran tersendiri. -MalaysiaGazette















