KUBANG PASU – Polis sedang mengesan dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan di sini, pada April dan Mac lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu dalam kenyataan memaklumkan, remaja pertama, Putri Nur Shakila Hailrol Nizam berusia 15 tahun 4 bulan, dilaporkan hilang pada 15 April lalu kira-kira jam 3.26 petang dari sebuah rumah di No 63B Belimbing 12, Taman Belimbing, Jitra di sini.
Menurutnya, seorang lagi remaja, Nur Aifa Fatihah Mohammad Pauzi, 15 tahun 6 bulan, dilaporkan hilang lebih awal iaitu pada 23 Mac lalu kira-kira jam 1.58 pagi dari Kampung Manggol Bongor Pida 2, Mukim Ah, Kodiang.
“Putri Nur Shakila mempunyai ketinggian 156 sentimeter dan berat sekitar 37 kilogram, bertudung, berkulit gelap, berkening tebal, berhidung mancung, berbibir nipis serta berbadan kurus.
“Nur Aifa Fatihah pula berketinggian 160 sentimeter dengan berat sekitar 40 kilogram, bertudung, berkulit kuning langsat, berkening tebal, berhidung mancung, berbibir nipis serta berbadan kurus,” katanya.
Tambah kenyataan itu, usaha mengesan kedua-dua remaja terbabit sedang giat dijalankan dan orang ramai diminta tampil membantu sekiranya mempunyai sebarang maklumat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Salmiah Che Ani di talian 04-9176999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette
















