Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Wilayah Persekutuan, Muhammad Fikri Abdul Aziz

JOHOR BHARU – Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Wilayah Persekutuan, Muhammad Fikri Abdul Aziz menegaskan tindakan Ketua Cabang Keadilan Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi keluar parti hari ini bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan parti itu sudah melalui pelbagai krisis besar sejak penubuhannya.

Menurut Ketua Cabang Keadilan Putrajaya itu, parti itu pernah melalui detik jauh lebih sukar termasuk ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen sebelum berdepan gelombang pemimpin dan anggota meninggalkan parti.

“Pada 2004, parti berada di titik paling rendah apabila ramai pimpinan keluar termasuk Ketua Pemuda ketika itu, Mohamad Ezam Mohd Nor bersama kumpulannya.

”Tetapi Keadilan bangkit semula dengan menyusun semula struktur parti dan memperkukuhkan jentera,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini malam ini.

Kata beliau, hasil proses pemulihan itu menyaksikan PKR bersama rakan sekutu ketika itu berjaya mencipta kebangkitan besar pada PRU 2008 apabila Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Kita juga berjaya merampas beberapa negeri penting termasuk Selangor yang kekal ditadbir sehingga hari ini. Sebab itu parti ini sentiasa percaya disiplin dan perjuangan reformasi mesti terus dipertahankan walau apa pun cabarannya,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan akan berlaku lagi gelombang pemimpin meninggalkan parti susulan pengumuman bakal dibuat Datuk Seri Rafizi Ramli esok, Muhammad Fikri berkata, situasi itu sukar dijangka kerana ramai masih memilih untuk berdiam diri.

Bagaimanapun katanya, kepimpinan parti mengambil pendekatan terbuka seperti ditegaskan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mana-mana individu yang tidak lagi sehaluan dengan disiplin dan hala tuju parti bebas membuat keputusan sendiri.

“Keadilan sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran politik. Kita pernah melalui episod lebih besar pada 2019 dan 2020 apabila Timbalan Presiden bersama beberapa pimpinan tertinggi keluar parti.

”Namun akhirnya Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi blok terbesar pada PRU 2022 dengan kemenangan 82 kerusi Parlimen,” ujarnya lagi.

Muhammad Fikri berkata, keadaan semasa juga berbeza kerana Keadilan dan PH kini berada dalam kerajaan di bawah kepimpinan Anwar menerusi kerangka Malaysia Madani.

Mengulas spekulasi kemungkinan pembentukan blok politik baharu melibatkan Rafizi dan MUDA serta kesannya terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diramalkan.

“Kita belajar daripada pengalaman Langkah Sheraton apabila ada pimpinan membentuk pakatan baharu dan ketika itu ramai menjangkakan PH akan berkubur.

“Tetapi PRU 2022 membuktikan dengan strategi yang betul dan persiapan rapi, rakyat masih memberi kepercayaan kepada kita,” katanya.

Beliau mengakui Rafizi mempunyai pengaruh tersendiri dalam politik negara, namun yakin kepimpinan dan jentera parti mempunyai pengalaman mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan menjelang PRN akan datang. – MalaysiaGazette

Ketua Cabang PKR Batu, Asheeq Ali umum keluar parti

Asheeq berhak pilih haluan sendiri, jangan salahkan PKR – Prabakaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast