KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang bertindak mengosongkan kerusi Parlimen bagi mengambil alih Parti Bersama Malaysia sebagai satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, keputusan itu dibuat pada saat rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dunia serta cabaran krisis bekalan global yang memerlukan komitmen penuh semua wakil rakyat untuk mempertahankan kebajikan rakyat.
“Di tengah-tengah rakyat bergelut dengan tekanan harga barang, isu keselamatan makanan dan ketidaktentuan ekonomi global, mereka memilih untuk meninggalkan tanggungjawab yang diberikan pengundi demi percaturan politik peribadi.
“Rakyat Pandan dan Setiawangsa memilih mereka atas tiket perjuangan reformasi serta kestabilan Kerajaan Madani, bukannya untuk dijadikan batu loncatan membina platform politik baharu selepas menang pilihan raya,” katanya hari ini.
Danish berkata, tindakan dua bekas pemimpin kanan Keadilan itu juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kerana memaksa negara berdepan pilihan raya kecil yang akan melibatkan kos besar menggunakan wang rakyat.
Menurut beliau, ketika kerajaan sedang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, menarik pelaburan serta mengurus cabaran geopolitik dan rantaian bekalan dunia, tindakan tersebut hanya menambahkan ketidakstabilan politik yang tidak diperlukan rakyat.
“Rakyat sudah penat dengan permainan politik tanpa penghujung. Apa yang diperlukan sekarang ialah kestabilan, dasar yang konsisten dan pemimpin yang sanggup bekerja, bukannya ahli politik yang sibuk menyusun survival politik sendiri.
“Jika benar mahu memperjuangkan idealisme baharu, mereka sepatutnya meletakkan jawatan lebih awal dan mendapatkan mandat baharu sebelum menggunakan kedudukan dimenangi atas tiket Keadilan untuk memperkukuh parti lain,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan AMK akan terus mempertahankan agenda reformasi dan kestabilan kerajaan demi kepentingan rakyat, bukan tunduk kepada politik kecewa atau percaturan individu tertentu.
“Perjuangan reformasi tidak boleh diperalat hanya ketika mahu mendapatkan sokongan rakyat, kemudian ditinggalkan apabila cita-cita politik peribadi tidak tercapai,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
KEMASKINI: Rafizi, Nik Nazmi kosongkan kerusi Pandan dan Setiawangsa
















