Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin menegaskan pihaknya tidak pernah menolak prinsip demokrasi atau kebebasan masyarakat sivil, namun tidak akan sesekali berkompromi jika wujud unsur salah guna dana asing yang boleh menggugat kestabilan negara.

Beliau berkata, terdapat pihak tertentu cuba memutar belit pendirian AMK seolah-olah sayap pemuda itu anti demokrasi hanya kerana membangkitkan isu berkaitan dakwaan penyalahgunaan dana luar.

Menurutnya, AMK tidak pernah menghalang mana-mana organisasi, NGO atau kumpulan masyarakat mendapatkan geran serta pembiayaan bagi tujuan pendidikan, kesedaran sivik, hak rakyat, pembangunan demokrasi atau program memperkasakan masyarakat.

“AMK tidak pernah menolak demokrasi. Dalam negara yang matang, program pendidikan demokrasi, kesedaran sivik dan pembangunan masyarakat memang perkara yang baik.

“Tetapi AMK juga tidak akan berkompromi jika timbul dakwaan dana asing disalah guna untuk agenda tertentu yang boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara,” katanya hari ini.

Danish berkata, siasatan terhadap dakwaan sedemikian tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman kepada demokrasi kerana setiap negara mempunyai tanggungjawab memastikan dana diterima tidak digunakan bagi tujuan mencurigakan.

“Kalau benar tiada apa hendak disembunyikan, maka siasatan tidak perlu ditakuti.

“Jangan gunakan slogan demokrasi dan kebebasan untuk melindungi kemungkinan penyelewengan atau penyalahgunaan dana,” tegasnya lagi.

Beliau berkata, cubaan memainkan persepsi kononnya semua pihak yang membangkitkan isu itu antikebebasan hanyalah usaha mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar.

Katanya, AMK akan terus mempertahankan prinsip keterbukaan dan demokrasi, namun pada masa sama tetap tegas dalam soal melibatkan kepentingan serta keselamatan negara. -MalaysiaGazette

Mandiri tuntut Kamil Mumin mohon maaf atau berdepan saman RM10 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast