KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu mula memikirkan secara serius hala tuju politiknya dan mengambil pendekatan lebih radikal serta berani bagi memastikan kelangsungan parti itu dalam landskap politik semasa.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, sudah tiba masanya BN menilai semula kedudukannya dalam kerajaan selepas lebih tiga tahun bertahan, berdiam diri dan berusaha memperkukuhkan kekuatan parti meskipun berdepan pelbagai tekanan politik.
Beliau berkata, keputusan BN menyokong pembentukan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merupakan satu keputusan besar bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
“Selepas pasca PRU-15, BN dengan berat hati dan dilema yang amat sangat meleburkan perjuangan politiknya dengan mengangkat dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan bersama PH dengan 30 Ahli Parlimennya.
“Ini budi BN yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun yang menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PMX,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Gulam Muszaffar, sokongan BN itu kini seolah-olah dibalas dengan tindakan yang boleh menjejaskan kelangsungan politik parti berkenaan.
Beliau menyifatkan keadaan tersebut sebagai `air susu budi yang diberi minum, air tuba racun yang dibalas’ untuk membunuh BN, selain mendakwa PH tidak mahu melihat BN kembali menjadi kuat.
Katanya, kebangkitan semula BN selepas mencatat beberapa kemenangan pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) mula dilihat sebagai ancaman oleh sesetengah pihak dalam kerajaan.
“Selama tiga tahun lebih BN hanya bertahan, berdiam dan berusaha untuk menguatkan diri sendiri walaupun berada dalam kerajaan.
“Alasannya, kebangkitan `gelombang biru’ yang dijelmakan oleh BN tidak boleh diterima PH, mereka tidak mahu sekali-kali BN menjadi kuat semula,” katanya.
Gulam Muszaffar berkata, kejayaan BN dalam PRK Nenggiri, PRK Mahkota serta kemenangan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan selain potensi kemenangan pada PRN Melaka, didakwa menyebabkan BN mula dianggap sebagai ancaman politik.
“Bila BN menang beberapa PRK dan PRK dan insya-Allah selepas ini di Melaka, mereka mula beranggapan BN sebagai ancaman dan musuh yang perlu ‘disembelih’ walaupun rakan dalam kerajaan.
“Itu motif sebenar mereka. Kehilangan kuasa membuat mereka meroyan dan menjadi igauan buruk buat PH,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan tidak bijak sekiranya BN terus bergantung kepada parti yang didakwanya sedang melakukan kesilapan percaturan politik sehingga menggugat kedudukan sendiri.
“Adalah sesuatu perkara yang paling bodoh dalam percaturan politik jika kita masih mahu bergantung kepada parti (PH) yang mencari nahas dengan menggali kubur mereka sendiri.
“Itulah PH. Kelemahan dasar, kesilapan percaturan politik, ketiadaan keikhlasan, melakukan intimidasi politik dan ketamakan kuasa menjadi punca utama mereka ditolak majoriti rakyat,” dakwanya.
Beliau turut mendakwa penolakan terhadap PH semakin ketara susulan keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan, selain meramalkan perkembangan sama bakal berlaku pada PRN Melaka dan pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, katanya, BN setakat ini tidak memilih untuk melakukan serangan balas secara terbuka walaupun berdepan pelbagai tekanan politik.
“BN tidak pernah menyerang balas walaupun diserang hendap dari pelbagai sudut. Stamina BN sentiasa kuat dengan dugaan yang diberikan selama ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan sudah tiba masanya BN menentukan sendiri masa depan politiknya tanpa terlalu terikat dengan kepentingan mana-mana parti lain.
“Masanya telah tiba, BN sudah boleh memikirkan secara serius hala tujunya untuk lebih radikal dan berani dalam situasi politik masa kini.
“Keputusan yang diambil selepas ini bakal merubah keseluruhan landskap dan diagram politik Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, akar umbi UMNO kini sedang menantikan tindakan politik yang bakal diambil kepimpinan BN bagi menentukan arah perjuangan parti itu selepas ini.
“Dalam soal ini BN perlu ‘selfish’ demi survivalnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















