Foto FB Sabri Yunus.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus memulakan perjalanan baharu dalam hidupnya pada usia 65 tahun apabila menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Menerusi hantaran di Facebook milikny, seniman itu berkata, langkah tersebut mengimbau kembali kenangan ketika dia menuntut di Institut Pendidikan (IP) Kota Bharu pada 1981.

Katanya, selepas lebih empat dekad, Sabri kembali ke dunia pengajian tinggi namun kali ini di sebuah universiti pendidikan yang jauh berbeza daripada institusi yang pernah dilaluinya ketika muda.

“Alhamdulillah, dari IP bawah tangga stadium Kota Bharu ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, akhirnya 1981 di IP dan 2026 di UPSI,” katanya.

Sabri turut berkongsi cerita dia tidak pernah melihat keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diperolehnya kerana ketika itu mempunyai tunggakan bayaran bulanan sebanyak RM180.

Menurutnya, bayaran bulanan sebanyak RM36 yang diberikan bapanya tidak dibayar selama lima bulan kerana wang tersebut banyak dihabiskan untuk menonton wayang di beberapa pawagam di Kota Bharu termasuk Lido, Rex dan Odeon.

Tambah pelawak itu, apabila keputusan STPM diumumkan, bapanya memberikan RM180 untuk beliau mengambil keputusan berkenaan kerana mahu mengetahui sama ada lulus atau sebaliknya.

“Depan bilik guru aku berdiri tengok orang keluar masuk, aku genggam duit dalam poket seluar dan kepala fikir, nak ambil atau tidak.

“Kalau keputusan tak bagus, tak lulus, terbang RM180 duit ayah, jadi aku buat keputusan tak ambil,”ujarnya yang mula mencipta nama dan dikenali ramai sejak era 1990-an menerusi watak Wan Ismail Golok dalam sitkom komedi popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu

Sabri berkata, dia kemudian memulangkan wang tersebut kepada bapanya dan memberitahu bahawa beliau merasakan dirinya tidak lulus.

“Ayah diam, masa itu kalau dapat 3 P( Principal) sudah layak ke universiti.

“Bila kawan ayah tanya keputusan aku, belum sempat aku jawab, ayah jawab dulu dapat 3 P (pembohong, pemalas, pemonteng). Aku diam namun selepas itu aku cuba sambung belajar untuk ayah dan mek (emak),” ulasnya.

Sekitar 1980-an ketika dia mula bekerja sebagai artis susun atur di Majalah Dewan Sastera, beliau pernah mendapat bantuan daripada Sutung Umar RS untuk menyambung pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ketika itu, suami kepada Angeline Tan itu bercadang mengambil bidang Seni Lukis dan Seni Reka.

Namun hasrat tersebut tidak kesampaian selepas pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak dapat memberikan cuti bergaji, manakala dia tidak mampu mengambil cuti tanpa gaji untuk tempoh pengajian.

Kira-kira dua tahun kemudian, beliau sekali lagi berpeluang melanjutkan pengajian.

“Aku bagi talk pasal teater di Kuala Terengganu iaitu program diatur Wan Ahmad Ismail, aku dari DBP bersama Zakaria Ariffin, Dr Samad Salleh USM dan Dr Zainal Latiff USM.

“Lepas aku bagi talk, masa minum Dr Zainal Latiff, good talk dan dia suruh aku belajar di USM dia akan bantu. DBP tak bagi cuti bergaji dan aku tak berani ambil risiko,” ujarnya.

Sabri berkata, tiga peluang pendidikan yang dilaluinya itu masing-masing menawarkan bidang berbeza iaitu seni lukis dan seni reka, seni lakon serta kali ini seni sastera namun ketiga-tiganya mempunyai satu persamaan iaitu bidang yang diminatinya.

Menurutnya, tawaran daripada UPSI kali ini diterima dengan hati terbuka kerana beliau tidak lagi terikat dengan keperluan mendapatkan cuti daripada mana-mana pihak.

“Dalam usia macam ini dan aku tidak terikat, aku tak perlu minta cuti daripada mana-mana pihak. Aku terima tawaran dengan sangat senang hati dan bersemangat. Semangat untuk anak-anak,” katanya.

Lebih menyentuh perasaan, Sabri berkata, bapanya sudah lama meninggal dunia dan tidak sempat mengetahui perkembangan terbaharu dalam hidupnya itu.

Dia sempat berkongsi berita tersebut dengan ibunya atau Mek kira-kira sebulan sebelum wanita itu meninggal dunia pada 5 Ogos lalu.

“Sebulan sebelum Mek meninggal 5 haribulan 8 lalu, aku sempat bisikkan yang aku akan sambung belajar. Terima kasih UPSI. Dalam usia 65 (bulan depan) aku jadi Anak Kandung Sulung Budiman kini,” tulisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here