AMPANG JAYA – Mana-mana parti politik yang mahu menjalinkan kerjasama perlu datang ke meja rundingan dengan keikhlasan dan tidak menetapkan syarat pembahagian kerusi sebelum perbincangan dimulakan, kata Datuk Seri Amirudin Shari.
Pengarah Pilihan Raya PH itu berkata, rundingan politik tidak akan berjalan lancar sekiranya mana-mana pihak terlebih dahulu menetapkan kawasan yang mahu ditandingi tanpa mengambil kira kedudukan dan pengorbanan parti lain.
“Jangan sebelum berbincang, telah meletakkan syarat bertanding tempat kalah saja. Susahlah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program MADANI Bersama Komuniti Ampang Jaya, di sini, hari ini.
Amirudin berkata, PH sebelum ini sudah menunjukkan keikhlasan dalam rundingan dengan bersedia menyerahkan kawasan yang dimenanginya kepada Barisan Nasional (BN) di Selangor.
“Di Selangor, kita pergi kawasan yang kita menang kepada BN.
“Jadi, keikhlasan itu kena tengok cermin diri sendiri juga dan kita terbuka untuk berbincang.
“Keikhlasan itu perlu diamalkan oleh semua pihak sekiranya mahu memastikan rundingan kerjasama politik dapat mencapai persefahaman,” katanya.
Amirudin turut menyokong saranan agar parti-parti politik mencari titik tengah dan tidak menjadikan kepentingan parti sebagai penghalang kepada kerjasama.
“Apapun, kita kena bersiap sedia dalam pelbagai kebarangkalian.
“Kebarangkalian itu akan diukur juga dengan kejujuran dan komitmen jelas untuk kita pertahankan kemakmuran yang digembleng daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Katanya lagi, apa yang penting ialah semua pihak datang ke meja rundingan tanpa prejudis dan bersedia membuat pengorbanan demi membentuk kerjasama yang mampu memberi jaminan kepada kestabilan politik.
“Keikhlasan itu penting. Kita terbuka untuk berbincang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















