MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berpuas hati dengan segala persiapan menjelang Sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri di Dataran 1Malaysia, Klebang pada 31 Ogos ini.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan persembahan serta komitmen tinggi ditunjukkan semua pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika raptai penuh berlangsung.
Menurutnya, lebih 60,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka dijangka hadir bagi menyaksikan sambutan bersejarah berkenaan.
Antara tarikan utama ialah pameran enam aset kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain persembahan lintas hormat membabitkan enam pesawat Sukhoi dan tiga pesawat pengangkut Airbus milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sambutan itu dijangka berlangsung meriah dengan pelbagai acara patriotik dan persembahan aset keselamatan negara yang jarang disaksikan orang ramai.















