RSN Rayer accident Jelutong DAP
Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer

GEORGE TOWN –  Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu tampil menjelaskan dakwaan mengenai pertemuan membabitkan partinya dengan pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkaitan usaha menjatuhkan kerajaan, kata Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Rayer berkata, jika dakwaan yang didedahkan Abdul Hadi pada Muktamar Pas itu benar, perkara berkenaan bukan sekadar isu politik kepartian, sebaliknya membabitkan keselamatan negara dan kedaulatan Malaysia.

“Orang awam berhak mengetahui siapa yang menghadiri pertemuan itu, bila dan di mana ia berlangsung, siapa yang membenarkannya serta apa yang dibincangkan.

“Lebih penting, adakah wakil kerajaan asing terbabit dalam sebarang usaha mempengaruhi, menggugat kestabilan atau memudah cara penyingkiran kerajaan Malaysia yang dipilih,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Rayer turut mempersoalkan dakwaan bahawa pertemuan berkenaan tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Ini pengkhianatan. Ini penderhakaan.

“Abdul Hadi perlu menjelaskan mengapa perkara ini tidak dilaporkan segera kepada Perdana Menteri ketika itu, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, polis atau agensi keselamatan negara berkaitan.

“Pas tidak seharusnya menuntut ketelusan dan akauntabiliti daripada pihak lain sekiranya terus berdiam diri mengenai dakwaan sebesar itu yang membabitkan kerajaan asing, khususnya AS.

“Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi, justeru pertukaran kerajaan perlu berlaku melalui peti undi serta proses yang ditetapkan Perlembagaan, bukannya melalui pertemuan sulit dengan kuasa asing,” katanya.

Sehubungan itu, Rayer menggesa kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan agensi keselamatan negara berkaitan, menyiasat dakwaan yang dibuat Abdul Hadi itu.

“Ini bukan mengenai Pas, Pakatan Harapan, Barisan Nasional atau Perikatan Nasional. Ini mengenai Malaysia.

“Tiada parti politik, walau sekuat atau berpengaruh mana sekalipun, patut dibenarkan melibatkan kerajaan asing dalam perbincangan berkaitan usaha menggulingkan atau menggugat kestabilan kerajaan Malaysia yang dipilih.

“Kedaulatan Malaysia lebih besar daripada mana-mana parti politik. Tiada kuasa asing sepatutnya dibenarkan campur tangan dan menentukan siapa yang memerintah Malaysia,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Hadi dedah AS pernah tawar bantu Pas jatuhkan kerajaan

Media semalam melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pemerintahan negara.

Menurut beliau, perkara itu berlaku ketika lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia, apabila beberapa pemimpin Pas ketika itu dijemput bertemu di Kedutaan Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here