KUANTAN – Prospek Penjara Penor sekali lagi mengungguli Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026 apabila merangkul tempat pertama Piala Tunku Azizah yang diadakan sempena Temasya Warisan Pahang 2026.
Menurut Kesultanan Pahang, kejayaan itu membuktikan bakat dan kemahiran penghuni institusi pemulihan itu dalam bidang tenunan, sekali gus memperlihat keberkesanan seni warisan sebagai salah satu medium pemulihan dan pembangunan diri.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, seni tenun bukan sahaja menghasilkan karya yang indah, malah mempunyai nilai terapeutik yang mampu membantu penghuni penjara membina kehidupan baharu.
“Mereka yang mengikuti program tenun tidak kembali kepada jenayah yang pernah dilakukan.
“Ada sesuatu tentang menenun yang bersifat terapeutik, menenangkan mereka dan membantu mereka untuk tidak kembali kepada jenayah terdahulu,” titahnya menerusi Kesultanan Pahang.
Susulan kemenangan itu, Prospek Penjara Penor berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 berserta piala dan sijil penghargaan, manakala hadiah tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM20,000 dan RM10,000.
Selain itu, katanya, enam pemenang kategori Queen’s Choice, yang menampilkan hasil tenun pilihan Tengku Ampuan Pahang, masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.
Pemenang utama turut dipilih oleh Tengku Ampuan Pahang sebagai salah satu pemenang Queen’s Choice, sekali gus membawa pulang wang keseluruhan sebanyak RM35,000.
Sementara itu, Piala Tengku Puteri Jihan yang dikhususkan kepada peserta kategori pelajar dimenangi penuntut Institut Kraf Negara, yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada Majlis Jamuan Diraja dan Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026, di sini malam tadi.
Menurut Kesultanan Pahang, seramai 107 peserta dari seluruh Malaysia menyertai pertandingan pada tahun ini, menerusi penghasilan sampin, tanjak dan bengkung, termasuk penenun profesional serta pelajar.
Katanya, kejayaan peserta institusi penjara turut menyerlah apabila barisan pemenang didominasi peserta dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Kejadian itu meneruskan pencapaian membanggakan pada edisi tahun lalu apabila 18 daripada 20 finalis terdiri daripada penghuni penjara dan hadiah utama dimenangi peserta Penjara Penor. – MalaysiaGazette
















