KUALA LUMPUR – UMNO diingatkan supaya tidak memberi ultimatum (kata dua) kepada Pas sekiranya gabungan kedua-dua parti itu terbentuk pada masa depan, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, peringatan itu susulan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan PKR tidak mempunyai hak memberi ultimatum kepada UMNO kerana memiliki jumlah kerusi lebih sedikit berbanding parti berkenaan.
Menurut Puad, kenyataan Tuan Ibrahim itu ada sedikit kebenaran, namun pada masa sama perlu menjadi peringatan kepada UMNO bahawa kedudukan kerusi Pas juga lebih banyak berbanding UMNO.
“Apabila nanti terbentuk gabungan Pas-UMNO, jangan pula UMNO memandai bagi ultimatum kepada Pas. Ini kerana kerusi Pas lebih banyak daripada UMNO,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Puad berkata, pendirian Pas ketika ini dilihat sebagai usaha memancing hati UMNO supaya meneruskan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, antara perkembangan yang menunjukkan kecenderungan itu ialah pendirian Pas mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu keputusan lepas tanpa bebas (DNAA).
“Pas juga pasti akan membela UMNO jika dikaitkan dengan kerugian Felda,” katanya.
Puad turut mendakwa Pas kini menggunakan pendekatan setiakawan dengan UMNO, selain isu penyatuan ummah, bagi memujuk parti itu meneruskan kerjasama politik. – MalaysiaGazette
















