MELAKA – Seorang penghantar makanan Grab maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pokok di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), Semabok, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Hakimin A Samah, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala, badan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Kandang menghala ke Bandar Melaka.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan dan terjatuh.
“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan perlanggaran pada pokok serta kesan pecahan pada pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan mangsa yang berasal dari Kampung Permatang Pasir Alai, di sini, disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Tiada saksi awam berada di lokasi kejadian dan tiada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diperoleh.
“Proses bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















