Ab Rauf Yusoh melakukan simbolik pecah tanah Masjid Seri.Bertam pada penutup program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Sungai Udang, Melaka hari ini.

MELAKA – Seramai 9,000 umat Islam di enam taman perumahan di Bertam di sini tidak lagi perlu bergerak sejauh sehingga 10 kilometer untuk menunaikan solat Jumaat selepas ini apabila sebuah masjid baharu dijadual siap sepenuhnya pada 2028.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, masjid kariah baharu Seri Bertam itu dijangka mula dibina hujung tahun ini dan siap sepenuhnya dalam tempoh satu setengah tahun.

Kata beliau, sebelum ini penduduk terpaksa ke Masjid Bertam Hulu untuk menunaikan solat Jumaat termasuk perlu menyeberangi Lebuhraya Sungai Udang- Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

Ab Rauf Yusoh menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada penutup program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Sungai Udang, Melaka hari ini

“Kemudahan baharu ini mampu menampung sehingga 1,500 jemaah dan memberi manfaat kepada penduduk Taman Desa Bertam; Taman Bertam Heights; Taman Seri Bertam; Bertam Impian; Taman Bertam Setia serta Taman Bertam Putra,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang di Taman Desa Bertam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Kariah Baharu Seri Bertam sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang berkata, kemudahan itu sangat penting memandangkan Masjid Bertam Hulu yang menjadi tumpuan penduduk merupakan masjid lama dan semakin uzur dan padat.

Masjid berkenaan tambahnya, akan memberi manfaat kepada penduduk Taman Desa Bertam, Taman Bertam Heights, Taman Seri Bertam, Bertam Impian, Taman Bertam Setia dan Taman Bertam Putra

Beberapa penduduk ditemui merasa syukur dengan pembinaan itu yang membolehkan mereka menunaikan ibadat terutama solat Jumaat dengan lebih mudah.

Seorang penduduk, Yusoff Ismail, 70, berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memahami masalah masyarakat Islam kawasan itu yang memerlukan kemudahan masjid.

“Selama ini saya terpaksa solat Jumaat di Masjid Bertam Ulu. Sejauh 10 kilometer (km).dari rumah saya,” katanya.

Che Kah Awang

Seorang lagi anak kariah, Che Kah Awang, 65, berkata, dia kadang-kadang terpaksa menunaikan solat Jumaat di pekan Sungai Udang yang sejauh hampir 10 km ekoran ketiadaan masjid di kawasan perumahannya.

“Kalau solat fardhu lain memang ada surau-surau di sini tetapi untuk solat Jumaat kena pergi ke kawasan lain yang jauh,” jelasnya.

Saiful Azmi Samsudin

Seorang peniaga, Saiful Azmi Samsudin, 34, pula berharap pembinaan masjid itu berjalan lancar.

“Kalau siap nanti saya rasa bertuah sebab masjid itu betul-betul berada di depan rumah saya,” katanya. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here