PUTRAJAYA – Jemaah Menteri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) yang terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Marudi, Sarawak, petang semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri dimaklumkan mengenai siasatan nahas berkenaan sedang dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.
Siasatan dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Menurutnya, hasil siasatan berhubung punca nahas itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas proses berkenaan selesai.
Semalam, CAAM memaklumkan, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Menurut CAAM, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang dan helikopter tersebut sedang menjalankan operasi penerbangan FDS. – MalaysiaGazette
















