KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan sebanyak RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Keempat-empat pertuduhan melibatkan Bukhary Equity Sdn. Bhd.
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin memutuskan demikian berdasarkan Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah (CPC) selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin.
Beliau berkata, pendakwaan tidak memberikan sebarang alasan melainkan hanya menyatakan pasukan itu tidak mahu meneruskan pertuduhan dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.
“Justeru, saya berpandangan demi kepentingan keadilan, budi bicara mahkamah hendaklah dilaksanakan yang memihak kepada tertuduh.
“Bagaimanapun, keputusan itu hanya terpakai terhadap empat pertuduhan berkenaan dan tidak membabitkan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan yang sedang dibicarakan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan keempat-empat pertuduhan tersebut.
“Pihak pendakwaan ingin memaklumkan bahawa setelah meneliti keseluruhan kedudukan kes, kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan pertama iaitu menggunakan kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan haram.
“Dengan itu, pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh diberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi pertuduhan-pertuduhan berkenaan selaras dengan peruntukan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, permohonan pihak pendakwaan hari ini adalah terhad kepada pertuduhan-pertuduhan tersebut sahaja dan tidak melibatkan pertuduhan-pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh,” ujarnya.
Ini bermakna, Presiden Bersatu masih dibicarakan terhadap tiga pertuduhan menyalahguna kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta.
Terdahulu, ketika memohon perintah pelepasan dan pembebasan terhadap Muhyiddin, Hisyam berhujah, permohonan pendakwaan dikemukakan pada hari terakhir perbicaraan bagi keempat-empat pertuduhan menggunakan kedudukan.
Ujarnya, senarai saksi yang dikemukakan kepada mahkamah menunjukkan nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Bukhary Equity tidak disenaraikan sebagai saksi.
“Ini jelas menunjukkan pendakwaan tidak lagi berminat meneruskan pertuduhan ini. Alasan kukuh perlu dikemukakan kepada mahkamah mengapa anak guamnya wajar dilepas tanpa dibebaskan.
“Adalah tidak adil untuk membiarkan pertuduhan terhadap anak guamnya tergantung begitu sahaja.
“Apabila Peguam Negara atau pendakwa raya sudah membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan, tertuduh hendaklah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.
Pada asalnya, Muhyiddin, 79, yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Datuk Seri Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. – MalaysiaGazette















