KUALA LUMPUR – Kadar pemutuan padi sebanyak 46.2 peratus yang dikenakan terhadap seorang pesawah di Kilang Beras BERNAS (KBB) Bukit Kenak, Terengganu, didapati mematuhi piawaian ditetapkan.
Mengesahkan perkara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, semakan yang dijalankan Seksyen Kawalselia Padi dan Beras (KPB) pada 8 September lalu mendapati proses pemeriksaan dan penentuan mutu padi berkenaan dilaksanakan mengikut Malaysian Standard MS 84:2017.
Menurutnya, analisis makmal fizikal mendapati faktor utama yang menyumbang kepada kadar pemutuan itu ialah kandungan biji padi muda atau hijau yang tinggi, iaitu 23.8 peratus selepas mengambil kira pelepasan tiga peratus yang dibenarkan.
Selain itu, katanya, kadar wap basah sebanyak 10.6 peratus dan hampa 11.8 peratus turut menyumbang kepada kadar pemutuan berkenaan.
“Proses pemeriksaan dan penentuan kualiti padi tersebut telah dijalankan sepertimana ditetapkan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras melalui Perintah Tetap Ketua Pengarah Bilangan 3/2017 mengenai pemakaian Standard Operating Procedure Pemutuan Padi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
KPKM membuat penjelasan itu susulan video tular di media sosial yang memaparkan ketidakpuasan hati seorang pesawah berhubung kadar pemutuan berkenaan.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan berkata, aktiviti tuaian padi di Terengganu bagi Musim 2/2026 masih berada pada peringkat awal.
Katanya, padi yang dituai pada awal musim, khususnya dari kawasan luar pengairan jelapang padi seperti Kampung Jelapang, Setiu, lazimnya berdepan isu kematangan biji padi yang tidak sekata ketika proses tuaian.
“KPKM ingin menegaskan bahawa amalan pemutuan di semua kilang belian sentiasa mengutamakan komunikasi dua hala yang telus bersama para pesawah atau wakil pesawah.
“Bagi transaksi ini, kadar pemutuan telah dimaklumkan secara jelas dan wakil pesawah telah mengesahkan persetujuan penilaian tersebut menerusi tandatangan pada Sijil Mutu Padi (SMP) sebelum pengesahan belian dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, KPKM memberi jaminan akan terus memelihara kebajikan pesawah serta memastikan kecekapan industri padi dan beras negara berada pada tahap terbaik berlandaskan garis panduan dan piawaian ditetapkan.
Sehubungan itu, pasukan pemantau Kawalselia Padi dan Beras turut diarahkan menyelaras operasi pemantauan di negeri yang bakal memasuki musim penuaian padi.-MalaysiaGazette
















