MELAKA – Pertandingan Pidato Rukun Negara mencatat sejarah apabila penyertaan tahun ini mencecah 10,494 peserta, jumlah tertinggi sejak program itu diperkenalkan enam tahun lalu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 1,182 peserta berbanding 9,312 orang yang direkodkan tahun lalu.
Lebih membanggakan, katanya, ia merupakan kali pertama jumlah penyertaan pertandingan berkenaan berjaya menembusi angka lima digit.
“Buat julung kalinya, jumlah penyertaan berjaya menembusi angka lima digit pada tahun ini berbanding tahun lalu.
“Bagi saya, angka ini satu isyarat jelas bahawa Rukun Negara masih utuh dalam jiwa anak Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran.

Menurut Ab Rauf, perkembangan pertandingan itu cukup membanggakan apabila program yang bermula daripada sebuah ilham di Melaka enam tahun lalu kini berkembang menjadi gerakan di peringkat nasional.
“Hari ini ia berkembang menjadi sebuah gerakan nasional yang menghimpunkan anak-anak Malaysia untuk menyuarakan makna perpaduan, kestabilan dan masa depan negara,” katanya.
Artikel berkaitan: Melaka perluas geran Pidato Rukun Negara, hargai peranan pendidik
Menurut beliau, peningkatan penyertaan itu turut menunjukkan penghayatan generasi muda terhadap Rukun Negara semakin subur.
Jika pada tahun-tahun awal penyertaan lebih tertumpu kepada pelajar serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Melaka, pertandingan itu kini berjaya menarik penyertaan dari seluruh negara.
Antaranya termasuk peserta dari Perlis, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Inilah bukti bahawa cetusan yang bermula di Melaka kini bergema ke seluruh negara.
“Perkembangan ini turut menjadi antara legasi bermakna Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam dalam menyemai kecintaan kepada negara dan membina jiwa patriotik anak-anak Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















