KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor membuka permohonan baharu Skim Mesra bermula 17 September ini dengan menyediakan kuota khas sebanyak 50,000 pendaftaran baharu.
Kerajaan Negeri Selangor menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) berkata, permohonan secara dalam talian itu dibuka mulai jam 8 pagi melalui portal rasmi Skim Mesra YAWAS.
Skim Mesra merupakan insentif kewangan tahunan sebanyak RM150 yang disediakan Kerajaan Selangor sebagai tanda penghargaan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sempena bulan kelahiran mereka.
Pengerusi, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, dan Ekonomi Penjagaan, Anfaal Saari berkata, skim ini terbuka kepada dua kategori penerima yang layak iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan OKU.
Bagi kategori warga emas, pemohon mestilah berusia 60 tahun dan ke atas, merupakan warganegara Malaysia serta pengundi berdaftar yang menetap di Selangor.
Bagi kategori OKU pula, pemohon perlu memiliki kad OKU yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berstatus warganegara Malaysia tanpa had umur.
Bagi syarat pengundi dan kediaman, pemohon OKU berusia 19 tahun ke atas diwajibkan mengundi dan menetap di Selangor.
Sementara itu, bagi pemohon OKU berusia 18 tahun dan ke bawah, syarat berkenaan perlu dipenuhi oleh ibu atau bapa mereka.
Katanya, kerajaan negeri menggalakkan warga Selangor yang memenuhi syarat kelayakan supaya membuat pendaftaran seawal pembukaan permohonan bagi memanfaatkan kuota 50,000 pendaftaran yang disediakan.
Permohonan dibuka pada tahun ini, manakala agihan manfaat Skim Mesra kepada pendaftar baharu akan bermula pada 2027.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau bantuan berkaitan pendaftaran boleh menghubungi Talian Hotline YAWAS di 03-5481 8800 atau e-mel [email protected]. MalaysiaGazette
















