Ab Rauf Yusoh berucap pada Majlis Apresiasi Pembekal Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dan Seminar What’s New Property Information System Malaysia 2.0 Zon Selatan di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka menyasarkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan penduduknya meningkat kepada 88 peratus menjelang tahun 2030.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai ekoran harga jualan rumah di Melaka adalah yang terendah di negara ini.

“Berdasarkan Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara bagi suku pertama 2026, Melaka merekodkan harga jualan rumah paling rendah di Malaysia malah nisbah kemampuan perumahan Melaka berada sekitar 3.27 berbanding purata nasional 4.39.

“Kita mahu lebih ramai rakyat Melaka bukan sekadar memasang impian untuk memiliki rumah tetapi akhirnya memegang kunci rumah milik sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pembekal Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dan Seminar What’s New Property Information System Malaysia 2.0 Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Abdul Razak Yusak serta Pengarah NAPIC), Norhisham Shafie.

Ab Rauf berkata, kadar pemilihan rumah itu adalah ukuran sebenar kejayaan sesuatu dasar perumahan.

“Bukan berapa banyak rumah yang kita luluskan atau bina tetapi berapa ramai rakyat yang akhirnya benar-benar mampu memilikinya,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, Laporan Pasaran Harta Separuh Tahun Pertama 2026 dikeluarkan 10 September lalu menunjukkan Melaka merekodkan 8,661 transaksi bernilai RM3.1 bilion dengan subsektor kediaman kekal sebagai penyumbang utama menerusi 5,479 transaksi bernilai RM1.78 bilion.

“Bagi kerajaan negeri, tugas kita bukan sekadar membuka lebih banyak projek perumahan tetapi memastikan rumah yang dibina memang diperlukan, berada di lokasi yang sesuai dan ditawarkan pada harga yang rakyat mampu miliki,” katanya.

Jelas Ab Rauf, dalam sektor harta tanah, pasaran tidak boleh dilihat hanya daripada berapa banyak unit yang dibina atau berapa tinggi nilai transaksi yang dicatatkan.

“Sebaliknya, kita perlu membaca dinamik permintaan dan penawaran, kadar serapan pasaran, pergerakan harga, kemampuan pembeli serta risiko lebihan penawaran,” ujarnya.

Ab Rauf berkata, data dikeluarkan NAPIC menjadi petunjuk untuk melihat keadaan sebenar pasaran yang mungkin baik untuk berkembang namun belum tentu seimbang.

“Pembangunan mungkin pesat tetapi belum tentu semuanya benar-benar diperlukan, sebab itu kita perlu tahu bukan sahaja sejauh mana pasaran berkembang tetapi ke mana ia sedang bergerak,” katanya. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here