Lapan pelumba yang disenaraikan sebagai calon awal wakil skuad kebangsaan dalam LTdL 2026

KUALA LUMPUR: Lapan pelumba tempatan disenaraikan dalam calon awal yang akan berentap bagi mewakili skuad kebangsaan ke saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kesemua lapan pelumba diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing sebelum senarai akhir dimuktamadkan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill

Katanya, pemilihan akhir akan dibuat berdasarkan prestasi semasa, tahap kesiapsiagaan dan keperluan taktikal pasukan.

“PKBM mengambil pendekatan untuk memberikan peluang kepada lapan pelumba bagi membuktikan kemampuan masing-masing sebelum senarai akhir dimuktamadkan.

“Enam pelumba terbaik akan dipilih berdasarkan penilaian pasukan kejurulatihan dan prestasi semasa mereka.

“Apa yang penting ialah kita mahu enam pelumba yang benar-benar bersedia dari segi fizikal, mental dan taktikal untuk menggalas cabaran negara.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, Jurulatih Kebangsaan, Mohd Yusof Abdul Nasir berkata, persiapan pasukan ketika ini lebih menjurus kepada cabaran pendakian yang bakal dihadapi pelumba.

Katanya, meskipun skuad negara tidak mempunyai pelumba yang benar-benar pakar dalam pecutan, beberapa pelumba memiliki keupayaan melakukan pecutan ketika mendaki.

Jurulatih Kebangsaan, Mohd Yusof Abdul Nasir

“Kita menyediakan lapan pelumba sebagai langkah kontingensi sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak dijangka, supaya kita dapat memilih pasukan terbaik,” katanya.

Daripada lapan pelumba berkenaan, Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Muhammad Yusri Shaari merupakan anggota skuad kebangsaan pada edisi 2025.

Enam muka baharu ialah Muhammad Zawawi Azman, Muhammad Zahin Wahii, Muhammad Adam Hakimi Nazuan, Chan Jian Le, Tsen Ren Han dan Muhammad Nazirul Aniq Abd Rahman.

Mohd Yusof berkata, Zawawi, Yusri, Zahin, Adam dan Jian Le ketika ini berada dalam kelompok pilihan utama, namun Ameer, Ren Han dan Aniq masih berpeluang mengubah kedudukan masing-masing.

Senarai akhir enam pelumba itu dijadual diumumkan pada 25 September.

LTdL 2026 berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini, membabitkan lapan peringkat sejauh 1,285.5 kilometer, bermula di Shah Alam dan berakhir di Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here