KLUANG – Penyerahan 13 buah Kerusi Roda daripada Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) kepada Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini diharapkan dapat membantu khidmat kesihatan di hospital berkenaan.
Pengerusi ALPH di HEBHK, Ts Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, penyerahan alat bantuan sebagai usaha pihaknya membantu hospital menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pesakit khususnya bagi mereka yang berhadapan masalah untuk bergerak atau berjalan.
Katanya, daripada 13 buah kerusi roda ini, sebahagian diletakkan di Zon Kecemasan manakala selebihnya akan digunakan di bahagian rawatan dialisis di HEBHK dan Klinik Kesihatan (KK) Mengkibol.
“Ini merupakan salah satu langkah yang dilakukan oleh ALPH bagi memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan khususnya khidmat dialisis samada di hospital atau klinik.

“Beberapa inisiatif lain akan terus digerakkan oleh ALPH dari semasa ke semasa agar perkhidmatan lebih baik dapat disediakan kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan di hospital ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd Zuhan berkata, pihaknya akan terus mengikuti setiap keluhan rakyat berkaitan tawaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik di daerah ini dan berusaha mengambil langkah mengatasinya.
Ujar beliau, secara asasnya HEBHK sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap pesakit yang datang mendapatkan rawatan sama ada dalam wad, bahagian janji temu, zon kecemasan dan farmasi.
“Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan setiap cadangan kepada pihak kami untuk kita sama-sama merancang mutu perkhidmatan di hospital ini dan ia pastinya untuk manfaat kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan,” katanya.- MalaysiaGazette
















