Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad bercakap kepada media pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di IPK Johor, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan yang ditahan Jumaat lalu kerana melakukan samun, mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah terhadap dua lelaki Rohingya akan didakwa Khamis ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan sudah dilengkapkan dan seterusnya dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor.

“Suspek akan berdepan empat pertuduhan membabitkan tiga kes samun dan satu kes mendatangkan kecederaan.

“Suspek akan menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

“Jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, suspek turut berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Katanya, bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Ab Rahaman berkata, kesemua pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses perundangan.

Sabtu lalu, Ab Rahaman dalam kenyataannya memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun, mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah terhadap dua lelaki warga asing di sekitar Taman Perling, di sini.

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu pada Rabu dan Khamis lepas daripada mangsa yang berusia 25 dan 35 tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here