BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak berusia lima tahun memerlukan RM115,000 bagi menampung kos pembedahan jantung susulan saluran darah di jantungnya kembali mengalami penyempitan.
Nur Nellysa Arshiyaa Mohd Firdaus Azri, yang menghidap penyakit jantung kongenital sejak lahir, telah menjalani pembedahan ketika berusia sebulan bagi membaiki kecacatan pada jantungnya.
Bapanya, Mohd Firdaus Azri Zaharin, 29, berkata, pembedahan pertama itu membabitkan beberapa prosedur termasuk membaiki lubang pada jantung, penyempitan saluran darah dan Patent Ductus Arteriosus (PDA), selain pemasangan alat perentak jantung (pacemaker).
“Bagaimanapun, pemeriksaan susulan pada 5 Ogos lalu mendapati saluran darah di jantungnya kembali sempit.
“Doktor memaklumkan dia perlu menjalani pembedahan jantung terbuka serta menggantikan alat perentak jantung,” katanya di sini.
Menurutnya, keadaan anaknya ketika ini kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan simptom ketara, namun doktor memaklumkan rawatan berkenaan tidak boleh ditangguhkan kerana dia berisiko tiba-tiba pengsan sehingga boleh mengancam nyawa.
“Apa yang paling membimbangkan kami adalah dia langsung tidak menunjukkan sebarang gejala, tetapi boleh tiba-tiba pengsan.
“Doktor memaklumkan rawatan tidak boleh ditangguhkan lagi. Kami hanya berharap dia dapat menjalani pembedahan dengan lancar dan membesar dengan selamat,” katanya.
Mohd Firdaus berkata, dia dan isterinya, Siti Najiha Norazman, 25, hanya mampu menyediakan RM10,000 daripada jumlah RM115,000 diperlukan dan terpaksa mendapatkan bantuan orang ramai bagi menampung baki kos berkenaan.
“Jika pembedahan tidak dilakukan, penyempitan saluran darah jantung itu boleh menyebabkan dia mengalami kesukaran bernafas dan keadaan boleh menjadi semakin serius,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya membantu keluarga berkenaan mengumpulkan dana RM115,000 selepas menerima permohonan daripada ibu bapa Nur Nellysa Arshiyaa.
Katanya, bapa kanak-kanak itu bekerja di bahagian gudang sebuah kilang, manakala ibunya seorang suri rumah yang turut menjual nugget ayam dari rumah secara sambilan.
“Pasangan itu turut mempunyai dua lagi anak masing-masing berusia satu dan dua tahun.
“Ibu bapa Nur Nellysa Arshiyaa hanya berharap anak mereka dapat menerima rawatan secepat mungkin dan tidak menunggu sehingga dia tiba-tiba pengsan atau keadaannya bertambah buruk,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (3201428817) atau melalui laman web www.onehopecharity.org.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette
















