SINGAPURA – Agensi Makanan Singapura (SFA) memulakan siasatan berhubung dakwaan penjualan daging anjing secara haram yang dipaparkan di sebuah platform media sosial.

Agensi itu memaklumkan bahawa ia tidak meluluskan penjualan daging anjing dan menegaskan semua import makanan mesti mematuhi keperluan SFA, sebagai menjawab pertanyaan media pada Jumaat.

Satu hantaran media sosial yang dikongsi pada Rabu dalam kumpulan Facebook ‘Dogs Singapore’ dipercayai mempromosikan pelbagai hidangan berasaskan daging anjing untuk dijual kepada orang ramai.

Hantaran itu kemudiannya dipadamkan.

SFA berkata produk makanan yang diimport secara haram daripada sumber tidak diketahui boleh menimbulkan risiko keselamatan makanan.

“Daging dan produk daging hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen daripada sumber yang diiktiraf SFA.

“Menjual daging dan produk daging yang diimport tanpa lesen atau permit import yang sah merupakan satu kesalahan,” menurut SFA.

Menurut agensi itu, mereka yang didapati bersalah menjual daging dan produk daging yang diimport secara haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$50,000 (S$1=RM3.19), atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.

“Walaupun SFA melaksanakan dan menguatkuasakan langkah kawal selia, pengimport serta peruncit makanan juga perlu memainkan peranan dengan memastikan produk makanan yang dibawa masuk ke Singapura untuk dijual mematuhi keperluan import SFA dan selamat untuk dimakan,” menurut agensi itu. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here