Bangunan Chinatown 1974 di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bangunan Tunas Utama milik UDA Holdings Berhad (UDA) yang berusia lebih 40 tahun kini diberi nafas baharu sebagai Chinatown 1974, sebuah ruang komersial di Jalan Petaling yang menempatkan lapan perniagaan dalam sektor makanan dan minuman, kesejahteraan serta hospitaliti.

Chinatown 1974 mengetengahkan konsep “Moving Through Time”, yang mengambil inspirasi daripada suasana Chinatown Kuala Lumpur era 1970an dalam penampilan yang lebih moden.

Ia kini menempatkan 8 perniagaan dan usahawan melibatkan sektor makanan dan minuman (F&B), kesejahteraan dan hospitaliti.

Pengisian premis itu dilaksanakan melalui model Master Operator, yang bukan sahaja menguruskan operasi bangunan, malah turut membimbing usahawan dari segi konsep perniagaan, operasi serta keperluan sijil dan kelulusan berkaitan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pembaharuan bangunan yang mula beroperasi sejak 1983 itu menunjukkan bagaimana aset lama boleh dimanfaatkan semula mengikut cita rasa dan keperluan pasaran hari ini.

“Baru-baru ini saya nampak Chinatown 1974 viral di TikTok. Saya ingat ini projek swasta yang baharu. Lepas itu baru saya diberitahu, ini sebenarnya aset UDA,” katanya.

Steven Sim (lima dari kanan) bergambar bersama Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (empat dari kanan); Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad (empat dari kiri) dan Datuk Seri Saiful Nizam Mohd Yusoff, Pengarah Urusan Menara Rezeki Sdn Bhd (lima dari kiri) bersama tetamu kehormat lain sempena lawatan rasmi ke Chinatown 1974, Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Steven berkata, pendekatan itu membolehkan aset UDA digunakan dengan lebih produktif, selain membuka ruang kepada PMKS untuk berniaga di lokasi komersial yang mempunyai aliran pengunjung tinggi.

“Jangan sampai aset yang sudah lama menjadi tired asset (asset using). Kita masih tanggung kos penyelenggaraan, tetapi orang tidak datang dan usahawan pula susah hendak memanfaatkannya.

“Sebab itu saya sudah beri mandat kepada UDA untuk melihat aset-aset lain yang boleh diberi nafas baharu dengan pendekatan yang sama,” katanya.

Menurut beliau, UDA kini telah mengenal pasti kira-kira empat hingga lima aset di seluruh negara untuk tujuan pembaharuan dan pengaktifan semula.

Beliau berkata pendekatan sama turut dapat dilihat melalui Heritage Valley Kuala Lumpur, yang menyediakan ruang perniagaan dengan konsep lebih moden dan premium tetapi masih mampu diakses oleh usahawan kecil dan PMKS.

“Kita mahu peniaga kecil, usahawan muda dan PMKS juga berpeluang berniaga di lokasi yang baik dan dekat dengan pasaran. Bukan sekadar beri modal. Kita juga kena beri ruang dan pasaran supaya mereka boleh berniaga dan berkembang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here