Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd Gazali Abas (kanan) diiringi Presiden Persatuan Pendidikan Khas Kebangsaan (PPKK), Datuk Dr. Sufean Hussin (tengah) berinteraksi bersama sebahagian murid kelainan upaya dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak Kuala Lumpur pada Perasmian Pameran Pendidikan Khas Antarabangsa (ISEE) 2019 di Menara MATRADE, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menganjurkan program berkaitan pendidikan khas.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas berkata, lebih lagi program melibatkan pakar luar negara seperti pameran dan persidangan Pendidikan Khas Antarabangsa (ISEE) 2019 yang sedang berlangsung hari ini.

Katanya, bukan mudah bagi pihak penganjur seperti ISEE untuk menarik minat pakar pendidikan khas dari Jepun, Singapura, United Kongdom dan Hong Kong menyertai pameran itu.

“Bagi pihak Kementerian Pendidikan, kita memuji program ini kerana bukan mudah hendak kendalikannya di peringkat antarabangsa seperti hendak membawa pakar dari banyak negara luar.

“Saya ucapkan tahniah dan kita akan sokong serta teruja dengan penglibatan NGO bersama kerajaan untuk melunaskan agenda kementerian, memartabatkan pendidikan golongan khas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik merasmikan program Pameran dan Persidangan Pendidikan Khas Antarabangsa di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pendidikan Khas Malaysia (PPKM), Prof. Datuk Dr. Sufean Hussin; Presiden Persatuan Pendidikan Khas Kuala Lumpur (PPKKL), Datuk Badruddin Abu Bakar; dan Pengerusi Penganjur ISEE 2019, Datin Lorela Chia.

Ditanya adakah kementerian mewujudkan kurikulum untuk pendidikan khas itu, Mohd Ghazali berkata, di setiap sekolah pendidikan khas mempunyai modul pendidikan berkenaan.

“Kita ada kurikulum khas untuk pendidikan seperti ini, malah kita sudah ada sekolah khas dan kelas harian khas.

“Kalau ada sekolah belum mempunyai kelengkapan, kita akan sediakan dan yang penting anak-anak ini datang ke sekolah dapat menerima pendidikan dengan baik dan sempurna,” katanya. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast