KUALA LUMPUR – DAP jangan risau dengan kemerosotan jualan oleh peniaga bukan Islam kerana tidak ada isu boikot berlaku dalam kalangan orang Melayu.
Sebaliknya, kata Presiden penaja Parti Putra Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali, orang Melayu menyahut seruan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang melancarkan kempen membeli barangan muslim.
Ini kerana, katanya, barangan muslim ada kena mengena dengan hukum halal haram di sisi Islam.
“Umat Islam banyak pantang larang tidak seperti orang bukan Islam. Makanan untuk dimakan pun mesti dipastikan halal, sebab itu ada kempen beli produk muslim.
“Jadi, pemimpin bukan Islam tidak perlu riuh rendah. Orang Islam berdiam diri walaupun diberi lesen judi arak dan pusat hiburan untuk orang bukan Islam hingga trillion ringgit duit berputar dalam industri haram bagi umat Islam.
“Islam agama Persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia adalah orang Islam. Baiknya umat Islam dan pemerintah Malaysia membenarkan perniagaan yang haram di sisi islam, tapi diizinkan kepada orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, apatah lagi ada syarikat bukan Islam menjual produk tidak halal, tetapi membuat iklan dalam bahasa Melayu, malah ada yang menggunakan tulisan Jawi pada produk makanan mereka.
Kata Ibrahim lagi, ada pihak anti bahasa Melayu dan mengagungkan bahasa ibunda mereka, tetapi untuk kepentingan perniagaan dan menarik umat Melayu mereka sanggup melakukan apa sahaja.
“Begitu juga ada yang begitu anti menentang tulisan Jawi, tapi menguna tulisan itu pada produk yang tidak halal di sisi Islam. Malah ada logo seolah menara masjid dan macam-acam nama seolah ianya produk halal bagi umat Islam.
“Macam-macam cabaran terpaksa umat Islam hadapi dengan pihak tidak pernah rasa puas hati atas ketidakcukupan apa mereka perolehi dan kebebasan mereka dapat di bumi milik asal kaum Bumiputra yang mereka pijak dan berteduh sekarang,” katanya.
Tegas beliau, amat wajar pihak tertentu menghormati sensitiviti umat Islam yang patuh perintah Allah dan ajaran Islam yang wajib membeli produk muslim demi menjaga dan memastikan apa yang dibeli itu adalah halal.
Di samping itu, umat Islam dan Melayu rasa bertanggungjawab membantu perniagaan sesama agama dan bangsa kerana kalau tidak berpakat membantu usahawaan Melayu Islam siapa lagi yang boleh diharapkan.
“Adakah bukan Islam sedia membantu bangsa Melayu Islam? Mereka dengar perkataan Melayu, Islam, Bumiputra pun jijik. Sebab itu mereka mahu hapus perkataan Bumiputera kononnya atas dasar bangsa Malaysia dan perpaduan.
“Tetapi, mereka tidak mahu hapus atau tutup sekolah vernakular dan mendokong sekolah satu aliran. Cukup hipokrit.
“Maka umat Islam serta kaum Bumiputra mestilah memperkasakan dan membantu usahawan Melayu Islam dan Bumiputera dengan membeli produk muslim atau produk Bumiputera Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, masih ada segelintir Melayu liberal hebat yang mungkin tidak sensitif dengan ajaran Islam menjadi pelanggan kepada produk orang bukan Islam.
“Mereka tidak hilang 100 peratus pelanggan Melayu Islam. Oleh itu, tidak perlu bising,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















