Abdullah Daud, 44, yang ditemui seorang diri bersama basikal buruknya di sebuah kedai serbaneka di daerah berbukit-bukau itu, kira-kira 220km dari Mae Sot di sempadan Thailand-Myanmar.

BANGKOK – Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) tidak ingat bagaimana beliau boleh berada di Umpang, sebuah daerah terpencil di wilayah Tak, kira-kira 2,000km dari sempadan Malaysia-Thailand, namun menyimpan hasrat pulang ke Malaysia dan kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan.

Itulah nasib yang menimpa Abdullah Daud, 44, yang ditemui seorang diri bersama basikal buruknya di sebuah kedai serbaneka di daerah berbukit-bukau itu, kira-kira 220km dari Mae Sot di sempadan Thailand-Myanmar.

Abdullah ditemui seorang diri di Umpang oleh seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi rakyat Malaysia, Lukman Ismail baru-baru ini yang secara kebetulan singgah di kedai serbaneka berkenaan untuk berehat dalam perjalanannya ke Bangkok dan Malaysia.

“Abdullah mahu pulang ke Malaysia tetapi beliau tidak tahu bagaimana caranya. Beliau tiada sebarang dokumen pengenalan diri, pasport atau wang poket,” kata penunggang motosikal berasal dari Jertih itu kepada Bernama hari ini.

Walaupun tiada sebarang dokumen pengenalan diri, Abdullah mengingati dengan tepat nombor kad pengenalannya dan menerusi bantuan rakannya di Kelantan, Lukman telah memeriksa alamat terakhir warga OKU itu serta sedikit-sebanyak latar belakangnya.

Alamat terakhir Abdullah, kata Lukman, adalah di Jalan Bayan, Kampung Dusun di Kota Bharu manakala kedua-dua ibu serta bapanya telah meninggal dunia.

“Beliau telah dijaga oleh ibu saudaranya yang bertugas di Hospital Kota Bharu selepas kematian ibu bapanya,” katanya sambil menambah hasil maklumat rakannya juga mengesahkan Abdullah memiliki masalah mental selain kecacatan fizikal.

Menurut Lukman, disebabkan keadaan ingatannya yang amat lemah, Abdullah tidak ingat bagaimana dia boleh berada di Umpang atau perjalanan hidupnya sejak meninggalkan Malaysia.

“Beliau juga tidak dapat mengingati tarikh memasuki sempadan Thailand atau menerusi pintu masuk sempadan yang mana,” kata Lukman dan menambah, bagaimanapun Abdullah masih ingat telah membeli basikalnya di Ranong, di selatan Thailand.

Bagi keperluan makanan dan minuman Abdullah, warga OKU itu, katanya, hanya mengharapkan belas ihsan penduduk tempatan, selain menjadikan kawasan tepi jalan raya dan lapang untuk berehat.

Ketika menemuinya baru-baru ini, kata Lukman, Abdullah menjadikan lantai di hadapan kedai serbaneka di Umpang sebagai tempat berehat dan tidurnya.

“Disebabkan keadaan fizikalnya juga, beliau hanya dapat mengayuh basikal selama satu jam selain keadaan jalan raya di daerah Umpang yang berbukit-bukau telah membataskan kayuhannya,” kata Lukman.

Pegawai kedutaan Malaysia di Bangkok juga telah dimaklumkan tentang kedudukan Abdullah itu dan sedang mengumpul maklumat penuh mengenainya.

— BERNAMA



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast