LONDON – Kumpulan ekonomi maju, G7 telah mencapai perjanjian bersejarah” untuk membuat syarikat multinasional membayar lebih banyak cukai.
Mesyuarat menteri-menteri kewangan di London itu bersetuju untuk memerangi tindakan lari daripada membayar cukai dengan menetapkan syarikat membayar lebih banyak cukai di negara tempat mereka berniaga.
G7 juga pada prinsipnya bersetuju dengan kadar cukai minimum korporat global sebanyak 15% untuk mengelakkan negara-negara saling berlumba-lumba menurunkan kadar cukai.
Gergasi teknologi Amazon dan Facebook adalah antara yang mungkin terjejas dengan penetapan yang dibuat.
Kesepakatan yang diumumkan antara Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Kanada, Itali dan Jepun, ditambah dengan Kesatuan Eropah, dapat menyaksikan aliran dana berbilion dolar kepada kerajaan untuk melunaskan hutang yang timbul semasa krisis Covid-19.
Perkara ini telah dirunding selama bertahun-tahun, keputusan ini akan memberi tekanan kepada negara-negara lain untuk mengikutinya, termasuk dalam pertemuan G20 bulan depan, yang merangkumi China, Rusia dan Brazil.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Janet Yellen memberitahu wartawan, perjanjian “bersejarah” mengenai cukai minimum global akan “mengakhiri perlumbaan tawaran paling rendah dalam cukai korporat dan memastikan keadilan bagi golongan menengah dan pekerja di Amerika Syarikat di seluruh dunia”. – MalaysiaGazette
















