GEORGE TOWN – Persatuan Anak Jati Pulau Pinang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah kerana didakwa wujud unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Timbalan Pengerusi badan bukan kerajaan itu, K. Praba berkata kerajaan negeri Pulau Pinang dilihat gagal mematuhi garis panduan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang melarang sebarang pembinaan berhampiran kawasan kuari yang terletak tidak sampai 100 meter dari projek itu.
“Tindakan kerajaan negeri seolah-olah membelakangkan undang-undang itu juga perlu disiasat dengan teliti oleh SPRM dan pihak berkuasa lain,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan SPRM di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anggota Jawatankuasa persatuan berkenaan, Tan Khai Beng turut menyelar kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang sebelum ini sering mempersoalkan kelulusan JAS apabila kerajaan persekutuan menjalankan pelbagai projek pembangunan.
Tan berkata kerajaan negeri yang kononnya mengamalkan konsep cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) sudah tidak releven kepada rakyat negeri ini dan mereka seharusnya ‘dihukum’ pada pilihan raya umum akan datang kerana tidak mengutamakan pengundi yang selama ini memberi kepercayaan.
Sabtu lepas, 11 maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek pembinaan rumah 50 tingkat itu.
— BERNAM
















