Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking (dua kanan) bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE Sdn Bhd, Khairil Adri Adnan (dua kiri) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari (kiri) pada sidang media pengumuman Projek Kereta Nasional baharu di i-Tech Tower, Cyberjaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan adakah berlaku penipuan berhubung projek kereta nasional ketiga yang baharu sahaja diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri baru-baru ini.

Persoalan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa bukan beliau yang meluluskan pemilihan DreamEdge sebagai syarikat untuk membangunkan kereta nasional ketiga.

Kata Dr Mahathir, pemilihan itu sudah pun dibuat dan beliau enggan mengulas lanjut mengenainya meskipun ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kemampuan DreamEdge.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ka Siong bahawa kerajaan Pakatan Harapan melanggar janji untuk tidak menaja mana-mana syarikat untuk projek pembinaan kereta nasional ketiga.

“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking menegaskan dua kali bahawa sumber dana untuk projek kereta nasional ke-3 adalah 100% daripada pihak swasta.

“Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula memberi jaminan wang rakyat tidak akan digunakan untuk projek ini.

Tetapi Perdana Menteri Tun Mahathir mengaku hari ini bahawa kerajaan telah melabur di dalam projek ini tetapi turut menafikan dia yang meluluskan pelaburan tersebut.

“Erti kata lain, Tun Mahathir telah kantoikan penipuan dua orang menteri. Apa kata Darell dan Guan Eng?,” soal Ka Siong lagi.

Sebelum ini, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mendakwa beliau skeptikal dengan dakwaan Menteri Kewangan bahawa projek kereta nasional ketiga hanya menggunakan wang daripada syarikat sahaja.

Ini kerana, saham DreamEDGE Sdn Bhd dikuasai oleh Venturetech Sdn Bhd.

Venturetech pula adalah 100 peratus milik Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan pula menafikan dakwaan Ka Siong dengan menyatakan VentureTECH yang sebelum ini dikenali sebagai A-Bio Sdn Bhd hanya memiliki pegangan 10 peratus dalam DreamEDGE sejak awal tahun 2017 dan tidak pernah dilantik sebagai wakil lembaga pengarah.

Sebaliknya, beliau adalah pemegang kepentingan terbesar dalam syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette