CT-One Corporation Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-Hashimi hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bharu yang memerintahkan kedua-duanya dan satu pihak lagi membayar sejumlah RM4,334,507 kepada bekas pelajarnya yang terbabit dalam kemalangan van pada Jun tahun lepas.
CT-One Corporation Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-Hashimi hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bharu yang memerintahkan kedua-duanya dan satu pihak lagi membayar sejumlah RM4,334,507 kepada bekas pelajarnya yang terbabit dalam kemalangan van pada Jun tahun lepas.

KOTA BHARU – CT-One Corporation Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-Hashimi hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bharu yang memerintahkan kedua-duanya dan satu pihak lagi membayar sejumlah RM4,334,507 kepada bekas pelajarnya yang terbabit dalam kemalangan van pada Jun tahun lepas.

Notis rayuan bagi membatalkan atau mengurangkan jumlah bayaran itu difailkan oleh pengasas maahad tahfiz berkenaan Datuk Adnan Hashim menerusi Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 23 Sept lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Nazri Ismail memutuskan CT-One Corporation Sdn Bhd, Maahad Tahfiz Al-Hashimi dan pemandu van Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, bertanggungjawab secara vikarius terhadap kecederaan dialami bekas pelajar itu yang menyebabkannya hilang upaya akibat kemalangan itu.

Sehubungan itu, mereka diperintah membayar RM4,334,507 kepada Muhammad Faiz Hafizuddin selaku defendan pertama dan ibunya Jahsuriawany Mustapha, 46, selaku defendan kedua.

Kos itu membabitkan ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang cedera kepala dan retak saraf tunjang sehingga menyebabkan mangsa lumpuh seumur hidup serta bagi pembelian lampin pakai buang, tiub makanan, beg kencing, katil, tilam dan jururawat persendirian.

Dalam kemalangan van pada Jun tahun lepas, tujuh daripada 12 pelajar tahfiz termasuk seorang berasal dari Thailand, terbunuh dengan lima daripadanya maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Krai.

Kemalangan itu berlaku semasa 12 pelajar maahad tahfiz berkenaan dalam perjalanan untuk menghadiri program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan Kota Bharu di sini, apabila van itu terbabas dan merempuh sebuah rumah di Km55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan