Zainal Abidin Hassan

KUALA LUMPUR – Kredibiliti dan pengalaman luas dalam mengendalikan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) faktor utama Melaka United memilih Zainal Abidin Hassan, sebagai ketua jurulatihnya yang baharu musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tawaran tersebut membuka peluang kepada legenda bola sepak negara itu untuk membuktikan kemampuannya mengemudi pasukan berkenaan untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Menurutnya, sebelum ini, pengurusan Melaka United menyenaraikan beberapa calon, antaranya, jurulatih Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), K. Devan dan bekas jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Bagaimanapun, Presiden Musa, Adly Zahari, yang juga Ketua Menteri Melaka, lebih mempercayai kemampuan dan pengalaman Zainal Abidin, katanya di sini hari ini.

Zainal Abidin, yang pernah membimbing Pulau Pinang, Selangor dan Pahang, akan mengisi kekosongan ditinggalkan bekas jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, yang memilih untuk tidak menyambung kontrak.

Sementara itu, Adly berkata, bajet pasukan untuk musim depan dihadkan tidak melebih RM18 juta.

“Meskipun jumlah perbelanjaan pada tahun depan kecil, namun kita tetap mementingkan kualiti permainan dan membuat sasaran bagi memenangi piala dan berada dalam kelompok pasukan terbaik,” katanya.

Melaka United mengakhiri saingan Liga Super tahun ini di tempat ketujuh berbanding kelapan liga musim 2017 daripada 12 pasukan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan