Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim bercakap pada Anugerah Kecemerlangan Anti Rasuah Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAk, 07 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed menafikan beliau terlibat secara langsung meminda laporan audit membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Untuk rekod beliau menerajui SPRM bermula dari 1 Januari 2010 sehingga 1 Ogos 2016.

“Saya tidak terlibat langsung dan kita cuba untuk mendapatkan laporan asal atau apa-apa laporan.

“Apa yang saya buat adalah jumpa Ketua Audit Negara dan ada aktiviti yang mereka cuba memberitahu kita bahawa laporan itu tidak diterbitkan,” katanya dalam sidang media Anugerah Kecemerlangan Anti Rasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Hamad Al Thani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putra (PICC), hari ini.

Hadir sama Peguam Negara Qatar, Dr Ali Details Al Marri dan Badan Penasihat Penilaian ROLACC, Eduardo Vetere.

Menurut Abu Kassim, SPRM terus menjalankan siasatan terhadap isu tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sebelum ini 15 individu dipanggil SPRM untuk diambil keterangan berhubung pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Madinah turut mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan mengenai 1MDB kerana ia dianggap kerajaan sebagai satu krisis.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh; Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi 1MDB, Arul Kanda.

Pendedahan itu dibuat Madinah pada 25 November lalu dalam satu kenyataan media. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan