Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) berucap pada Perhimpunan Bulanan JPM di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 DISEMBER 2018

KUALA LYMPUR – Kerajaan akan mencari jalan penyelesaian bagi merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar yang semakin meluas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahatahir Mohamad berkata, penduduk di luar bandar perlu menikmati kekayaan yang sama rata dengan penduduk di bandar bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Jika tidak, katanya, ia akan menimbulkan masalah besar suatu masa nanti.

Menurutnya, jurang antara penduduk bandar dan luar bandar ini berlaku disebabkan kepadatan penduduk yang semakin memberangsangkan sehingga menyebabkan berlakunya pengembangan wilayah bandar yang lebih besar.

“Di negara kita, bandar sudah jadi begitu besar dan kaya tetapi kawasan luar bandar yang dahulu mempunyai lebih ramai wakil rakyat tidaklah maju seperti yang diharapkan.

“Keadaan ini perlu dibetulkan dan ia akan datang daripada pihak kerajaan dan pemerintah dan kita adalah sebahagian daripada pemerintah.

“Kita boleh tentukan pemisahan antara bandar dan luar bandar bererti dikurangkan jaraknya jika menggunakan dasar kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya ketika berucap di Himpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Jelasnya, kerajaan bukan mahu menghalang perkembangan di bandar, tetapi kalau jarak antara yang kaya dan miskin itu terlalu jauh maka akan timbul perasaan iri hati dan akhirnya ini akan menyebabkan negara kita menghadapi permusuhan antara bandar dan luar bandar, antara miskin dengan kaya, bahkan antara satu kaum dengan kaum lain.

“Ini perlu dielakkan dan tugas untuk menentukan perkara ini tidak terjadi dan memburuk adalah tanggungjawab kita. Saya yakin semua anggota di JPM ini tahu cara bekerja dan faham tentang keperluan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette