Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) akan diadakan selama tiga hari bermula 17 Mei ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) mensasarkan lebih 2,500 pengunjung sehari pada Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) di Resort Tasik Raban, Lenggong bermula 17 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya berkata, program yang akan diadakan selama tiga hari itu sempena Tahun Melawat Perak 2024 bertujuan merancakkan lagi industri agropelancongan khususnya di Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia untuk geopark.

Menurut beliau,  SADC turut menjangkakan kehadiran pengunjung dari negara-negara luar termasuk dari Singapura, Indonesia dan Thailand.

“Banyak aktiviti yang ditawarkan kepada pengunjung termasuklah Pakej ‘Explore Nature Kampungku’, Pakej ke 24 lokasi budaya dan bersejarah di tiga bandar utama Perak, Pakej ‘Sehari di Lembah Lenggong’ dan Suka- Suka Lake Retreat.

“Pakej ini sesuai bagi mereka yang mahu merasai ketenangan hidup di kampung serta pakej potongan harga sehingga 40 peratus daripada agensi pelancongan, pusat rekreasi agro, pengusaha sukan lasak, hotel serta resort yang terkemuka,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Pengunjung PAC 2024 turut berpeluang menikmati pelbagai program menarik yang disediakan seperti menaiki belon panas, beriadah dengan pelbagai aktiviti sukan lasak dan rekreasi seperti sukan air, flying fox, aktiviti perkhemahan dan karavan.

Mereka boleh membeli-belah pada harga rahmah di agro bazar dan pesta makanan, mengikuti ceramah perdana, menyaksikan perlumbaan perahu naga, bertemu artis-artis popular tanah air dan persembahan kebudayaan.

PAC 2024 bakal merancakkan lagi industri agropelancongan khususnya di Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia untuk geopark.

Mengulas lanjut, Yahanis turut memberitahu, terdapat lebih 50 tapak eko dan agropelancongan di Hulu Perak dan sebahagian daripadanya dibangunkan sendiri oleh Perak SADC.

“Kita telah membangunkan beberapa projek eko dan agropelancongan antaranya Taman Herba Gopeng, Gunung Masoorat, Denai Kabus Agro Farm, Ulu Piah Eco Farm Resort dan banyak lagi

“Maka, melalui penganjuran PAC 2024, kita mahu pengunjung didedahkan dengan, bukan sahaja tarikan yang ada di Perak, bahkan juga pakej-pakej menarik pada harga istimewa yang ditawarkan untuk semua,” katanya.

Sementara itu, PAC 2024 akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan ia dijangka bakal melonjakkan industri agropelancongan yang semakin popular dalam kalangan pelancong yang menghargai kehijauan dan mahu menikmati percutian secara bertanggungjawab selari dengan agenda Perak Sejahtera 2030 dalam Flagship Lembah Bakul Makanan (Sekuriti Makanan) di bawah program Hab Agropelancongan selain pelan sama turut menyenaraikan ‘flagship’ Ekonomi Pengalaman.

Karnival yang didukung oleh Kerajaan Perak ini turut mendapat kerjasama Tourism Perak, Majlis Daerah Lenggong, Majlis Pelancongan Lenggong dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here