PRK, Sungai Kandis
Kelihatan tiada perang bendera di lorong dan jalan sekitar Dun Sungai Kandis sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Jalan Mughni, Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 JULAI 2018,

SHAH ALAM – Penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berlangsung pada 21 Julai yang lalu.

Kerusi tersebut bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu calon daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam, Zawawi Ahmad Mughni daripada PKR dan seorang lagi daripada Bebas K. Murthy.

Sejurus selepas penamaan calon sehingga ke hari ini kedua-dua parti mula mendekati pengundi di kawasan itu kecuali calon Bebas yang terus menyepi hilang tanpa khabar.

Hari ini Lokman Adam membawa bekas Pengerusi BN yang juga mantan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkempen bersama-samanya.

Kepimpinan tertinggi daripada Pakatan Harapan pula sehingga kini masih tidak kelihatan, terutamanya Pengerusi gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya yang merupakan Presiden PH, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hanya kelihatan bersama Zawawi adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati tempoh berkempen sejak empat hari ini belum membawa bahang hangat.

Juga kelihatan tiada bendera-bendera parti yang saling ‘berebut’ kawasan.

Mungkin juga atas faktor Sungai Kandis merupakan kerusi yang tidak panas memandangkan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 lagi kerusi itu dikenali Seri Andalas dipegang oleh PKR.

Apa pun terlalu awal untuk menyifatkan PRK N49 ini ‘sendu’ kerana calon mempunyai lebih kurang sembilan hari lagi untuk berkempen. -MalaysiaGazette