Mengutip derma adalah acara tetap setiap program Pas. Kelihatan seorang anggota Unit Amal Pas menadah karung untuk mengutip derma daripada perwakilan.

ALOR SETAR – “Tak cukup karung (kandi kain), guna kopiah pun tak apa,” seloroh seorang urusetia yang mengendalikan Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat kepada anggota Unit Amal Pas yang bergerak mengutip derma daripada perwakilan.

Aktiviti itu boleh dilihat di mana-mana sahaja dalam program anjuran Pas, baik di peringkat kampung, kawasan, negeri mahu pun pusat.

Aktiviti derma dalam Pas  bagai perumpamaan Melayu, seperti isi dengan kuku atau atau menyamai juga bagai aur dengan tebing.

Moralnya, aktiviti itu sangat akrab antara rakyat dengan Pas.

Bagaimanapun, menurut urusetia berkenaan, wang kutipan derma itu akan disumbangkan kepada pengurusan Sekolah Rendah Islam, Darul Ulum, Alor Setar.

Katanya, pihak sekolah berkenaan berbelanja lebih RM20,000 untuk menambah baik bangunan dewan tempat muktamar itu bagi memberi keselesaan pemimpin dan perwakilan bersidang di kemudian hari.

“Kalau tuan-tuan berasa sejuk sepanjang bersidang dalam dewan ini, itu adalah hawa dingin daripada ekon (pendingin hawa) yang baru dipasang oleh pihak sekolah ini.

“Jadi, sebagai tanda terima kasih, apa kata tuan-tuan derma dan sumbangan ini kita pulangkan balik kepada pihak sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette