Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk memacu sektor pelancongan menerusi konsep Rainforest to Reef’ (R2R), yang mana semua produk, aset dan pembangunan pelancongan digabungkan bagi menawarkan pengalaman pelancongan yang menyeluruh.

KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan
Kerajaan Kelantan berjaya menarik RM12.7 bilion pelaburan swasta antara tahun 2007 dan Mei 2017.

Projek-projek berimpak tinggi ini berjaya mewujudkan lebih 13,880 peluang pekerjaan
baharu dan meningkatkan taraf hidup lebih 25,000 penduduk, terutamanya dalam kalangan golongan B40 di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar.

Usahawan Bumiputera merupakan antara penggerak utama bagi pertumbuhan
sosioekonomi Kelantan.

Sehingga kini, 48 projek oleh syarikat-syarikat Bumiputera telah menerima insentif sama ada di bawah Pakej Insentif ECER atau Dana Mudahcara TERAJU@ECER atau kedua-duanya, dengan pelaburan bernilai RM4.59 bilion telah mewujudkan 5,980 pekerjaan.

Antara tahun 2012 hingga Mei 2017, TERAJU@ECER telah meluluskan Dana Mudahcara
berjumlah RM85.6 juta kepada 37 penerima di negeri Kelantan melibatkan pelaburan
mencecah RM711.7 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, antara
projek-projek yang telah siap yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan di Kelantan
ialah Taman Halal Pasir Mas (PMHP) yang akan mengukuhkan kedudukan negeri
tersebut sebagai sebuah hab industri halal.

Selain itu, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Pengkalan Kubor – kedua-duanya berperanan utama dalam membangunkan Kelantan sebagai sebuah hab bagi aktiviti-aktiviti berasaskan perikanan dan marin.

PHMP yang dibangunkan secara bersama antara ECERDC dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di kawasan seluas 108 ekar, setakat ini telah menerima pelaburan komited berjumlah RM22 juta dan mewujudkan 100 peluang pekerjaan baharu, katanya.

Sehingga kini, 84 peratus daripada Fasa 1 PMHP telah diduduki dan ia dijangka dihuni sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2017.

Sementara itu, TBIFP yang berkeluasan 225 ekar di Pasir Puteh disasarkan untuk menjana aktiviti-aktiviti ekonomi dan meningkatkan pendaratan ikan di Kelantan dengan
memfokuskan kepada produk-produk berasaskan ikan yang diproses, otoshimi, makanan
ikan dan industri-industri sokongan seperti kilang pembuatan ais.

Ditambah dengan integrasi sektor eko-pelancongan marin dan hospitaliti, TBIFP dijangka
menarik lebih banyak pelaburan swasta dalam masa terdekat.

Turut dalam perancangan ialah pelan ECERDC untuk memulihara dan mempromosikan
tradisi kampung tempatan dengan membangunkan Kampung Laut sebagai sebuah
“Kampung Warisan”.

Pembangunan ini dijangka merancakkan aktiviti-aktiviti sosioekonomi di kampung tersebut dengan menawarkan peluang-peluang keusahawanan melalui promosi juadah dan kraftangan tempatan.

Satu lagi projek utama ialah Plaza IMT-GT di Bukit Bunga, yang terletak di kedudukan
strategik di sepanjang kawasan sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan
Kubor-Tak Bai. Plaza tersebut dijangka meningkatkan aktiviti-aktiviti ekonomi di kawasan
berkenaan melalui penyediaan sebuah pusat komersial yang lebih kondusif dan strategik untuk para usahawan tempatan mempromosi dan memasarkan produk-produk mereka.

Pembangunan di Kelantan juga bakal menjadi lebih rancak dengan pembinaan projek
Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Projek InfraRakyat sepanjang 600km ini akan meningkatkan kesalinghubungan dan
pergerakan di negeri tersebut termasuk di daerah-daerah Tumpat, Kota Bharu dan Tok Bali.

Kawasan-kawasan ini juga akan dihubungkan dengan hab-hab logistik lain termasuk
Pelabuhan Kuantan di Pahang dan Pelabuhan Klang di Selangor melalui Kuala Lumpur.

Menurutnya, ECER telah melahirkan lebih 4,100 usahawan mikro, kecil dan sederhana, dan bersama-sama dengan projek Agropolitan, telah menyediakan hampir 8,250 peluang pekerjaan untuk rakyat.

Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER di Kelantan setakat ini
telah memberi manfaat kepada 3,020 peserta, yang mana 80 peratus daripadanya telah berjaya meningkatkan pendapatan masing-masing antara RM1,000 dan RM3,000 sebulan setelah tamat latihan.

Program entrepreneur ECER juga telah membuahkan kejayaan untuk 1,780
pesertanya, yang mana ramai daripada mereka telah berjaya meningkatkan jualan
sekurang-sekurangnya sebanyak 30 peratus dan seterusnya mewujudkan lebih 5,830
peluang pekerjaan baharu untuk komuniti masing-masing. – MalaysiaGazette