Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan pemeriksaan pada sebuah daripada dua bas kilang yang terbabit dalam kemalangan jalan raya mengakibatkan lapan maut dan 35 cedera di KM147 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara berhampiran Plaza Tol Juru pagi tadi. Dalam kemalangan itu, enam mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala dua lagi maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya. - fotoBERNAMA

BUKIT MERTAJAM – Lapan pekerja wanita maut manakala 23 lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua bas dan sebuah van kilang di Km147 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara berhampiran Plaza Tol Juru, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata insiden yang berlaku pada 5.30 pagi itu turut menyebabkan 10 yang lain cedera ringan.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal, kemalangan itu membabitkan dua bas kilang dan sebuah van kilang yang kesemuanya membawa 40 penumpang wanita dan tiga pemandu lelaki.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah daripada bas kilang tersebut mengalami kerosakan enjin dan berhenti di kiri jalan sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah lagi bas kilang menyebabkan bas yang rosak itu tertolak ke kanan lebuh raya.

“Pada masa sama sebuah van kilang yang berada di laluan sama turut dilanggar oleh dua bas itu,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan bas yang rosak itu membawa pekerja kilang Sony yang terdiri daripada rakyat Indonesia dan Nepal manakala sebuah lagi bas membawa 15 pekerja kilang Plexus.

Nik Ros Azhan berkata rempuhan itu menyebabkan sebahagian penumpang di dalam bas rosak di kiri jalan itu terpelanting keluar.

“Setakat ini identiti kesemua mangsa yang maut masih dalam proses untuk dikenal pasti dan mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat,” katanya.

Dua mangsa yang kritikal dihantar ke Hospital Pulau Pinang. – BERNAMA