Mustapa Mohamed

PUTRAJAYA – Pelaburan bernilai RM31 bilion (AS$7 bilion) oleh syarikat minyak negara Arab Saudi, Saudi Aramco dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (RAPID) membuktikan bahawa Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan pilihan di peringkat dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan itu hadir ketika pelbagai dakwaan negatif dilemparkan kepada Malaysia.

Beliau berkata, malah pelaburan yang diterima Malaysia itu turut menunjukkan keyakinan tinggi negara luar terhadap kepimpinan negara.

“Pelaburan lebih RM30 bilion itu adalah satu pencapaian tertinggi negara (kerana kita) tidak pernah (menerima) pelaburan terbesar tunggal dari mana-mana syarikat (seperti ini),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tanda penghargaan kepada syarikat-syarikat multinasional InvestKL 2016 di sini, hari ini.

Semalam, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani perjanjian pembelian saham dengan Saudi Aramco bernilai RM31 bilion bagi membolehkan syarikat Arab Saudi itu membeli 50 peratus ekuiti dalam aset kraker dan penapisan di bawah RAPID.

Pelaburan itu difahamkan menjadi pelaburan hiliran terbesar di luar Arab Saudi.

Mengulas dakwaan mengatakan Malaysia telah menjual kedaulatannya kepada China, Mustapa berkata persekitaran global memerlukan Malaysia bekerjasama dengan negara lain.

“Ini termasuk China. Pelaburan Malaysia di luar negara adalah melebihi pelaburan langsung asing di negara ini.

“Kita mempunyai kedudukan kukuh di China, Kanada, Singapura dan Australia, manakala syarikat Malaysia turut memiliki beberapa projek besar di London. Apa yang mahu anda katakan kepada semua ini?

“Kita perlu bekerja bersama-sama, kita tidak boleh bekerja secara terasing,” katanya. – MalaysiaGazette