Dr Fathul Bari Mat Jahaya
Dr. Fathul Bari Mat Jahaya

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya menawarkan diri mengajar Kumpulan aktivis yang memfailkan tuntutan mahkamah baru-baru ini untuk berdebat secara terbuka dengan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri itu berkata, beliau mempunyai hubungan agak rapat dengan Dr. Zakir dan sekiranya kumpulan itu tidak berpuas hati beliau menawarkan kumpulan itu untuk berjumpa serta berdialog bagi memberi mereka peluang untuk membangkitkan perkara yang dirasakan mereka tidak bersetuju.

“Dia masih tidak mengenali siapa Dr. Zakir Naik. Saya boleh aturkan pertemuan itu (untuk sesi dialog beragama). Saya bukanlah PA (pembantu peribadi) dia, tapi saya kenalan dia.

“Ada yang saya lihat seorang daripada aktivis itu gayanya macam ustazah dan seorang lagi berambut putih (Siti Kassim) tapi saya tak tahulah dia daripada mana,” katanya.

Beliau juga menasihati beberapa mereka yang beragama Islam dalam kumpulan membuat tindakan saman itu untuk berjumpa sendiri dengan Dr Zakir dan mendengar pandangannya.

“Saya mohon kepada aktivis-aktivis ini sekiranya ada dalam kalangan orang Islam, agar mereka ini pergi bertemu dengan Dr Zakir Naik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim juga senada dengan Fathul Bari dan menyifatkan tindakan kumpulan itu tidak relevan, malahan Malaysia juga tidak pernah menghalang mana-mana ketua agama lain untuk datang bagi bertemu dengan penganut tertentu.

“Apa yang mereka buat itu tidak relevan, apa pun saya fikir proses perundangan itu yang terbaik. Saya harap kalau debat itu berlangsung, ia diadakan secara intelektual dan berhikmah.

“Saya rasa secara prinsipnya kita menerima mana-mana ketua agama yang datang, kita pun tak pernah halang mereka datang.

“Wirathu yang terlibat dalam pembunuhan Rohingya pun pernah datang Malaysia, kita tak pernah halang pun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Raimi merujuk kepada seorang ketua Buddha iaitu Ashin Wirathu dari Myanmar yang terlibat dalam pembunuhan warga Rohingya pernah beberapa kali datang ke Malaysia tanpa sekatan.

Kumpulan yang menyaman itu terdiri daripada Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dan 18 yang lain, termasuk ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.

Mereka menuntut perintah penangkapan dan pengusiran Dr Zakir, kumpulan aktivis itu juga memohon pembatalan status pemastautin tetap Malaysia yang diberikan kepada pendakwah itu. – MalaysiaGazette